25 April 2024, Selangor – YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini melancarkan melancarkan CITRA MTDC @ Majlis Hari Raya Bersama-sama Rakan Niaga 2024 anjuran Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) sebuah agensi di bawah MOSTI hari ini bagi meraikan pencapaian dalam teknologi dan inovasi bertempat di Level 2, Block B, TIC III, UPM-MTDC Technology Centre, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
Program tersebut dihadiri oleh wakil daripada kementerian, agensi, universiti, dan syarikat ekosistem kerajaan, termasuk penerima pembiayaan dan syarikat yang beroperasi dalam Pusat Teknologi MTDC. Para hadirin berpeluang meneroka pameran yang mempamerkan produk daripada syarikat ekosistem MTDC dan rangkaian dengan rakan industri.
Komitmen MTDC untuk menyediakan bantuan kewangan dan perkhidmatan nilai tambah telah menghasilkan pencapaian yang luar biasa, termasuk menjana lebih RM7 bilion hasil jualan daripada syarikat yang dilaburkan. Keupayaan agensi untuk menarik pelaburan swasta, mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dan memupuk kerjasama dengan universiti dan institusi penyelidikan menunjukkan dedikasinya untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui teknologi dan inovasi.
Tambahan pula, beberapa syarikat yang dibiayai MTDC telah berjaya memasuki pasaran global, dengan beberapa syarikat tersenarai di bursa saham tempatan dan antarabangsa, mencapai permodalan pasaran melebihi RM1 bilion. Pada 2023 sahaja, empat syarikat yang dibiayai MTDC telah disenaraikan di bursa saham tempatan, dengan jumlah pelaburan RM27.91 juta dan permodalan pasaran hampir RM3 bilion.
Hadir sama YBhg. Tan Sri Abd. Rahman Mamar, Pengerusi MTDC; YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan YBrs. Ts. Hj. Mohammad Hazani Hj. Hassan, CEO MTDC.
Untuk maklumat lanjut tentang MTDC dan inisiatifnya, sila layari www.mtdc.com.my.