Skip to main content
Berita

Cradle Mengenalpasti 5 Permasalahan Berkait Rapat Isu Rakyat Dan Mencari Penyelesaian Digital Menerusi MyHackathon 2022

27 Julai 2022, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan misi mencari penyelesaian dan inisiatif berinovasi yang dapat memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia menerusi pelancaran program MYHackathon 2022.

MYHackathon 2022 adalah kesinambungan MYHackathon 2020 yang diperkenalkan oleh Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) iaitu agensi di bawah MOSTI dan merupakan salah satu inisiatif program MYStartup.

Ia merupakan platform yang diwujudkan untuk para techpreneurs, inovator, jurutera perisian dan juga rakyat Malaysia bagi menghasilkan idea penyelesaian yang berinovasi serta berteknologi untuk membantu menambah baik perkhidmatan awam.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, MYHackathon edisi 2022 akan memberi tumpuan kepada pencarian penyelesaian kepada proses pemulihan ekonomi negara.

“MYHackathon 2022 adalah platform terbaik yang menyediakan peluang bagi syarikat-syarikat start-up, perusahaan tempatan, mahupun individu untuk menawarkan penyelesaian berteknologi dalam menambah baik kualiti penyampaian Kerajaan, seterusnya mengetengahkan idea dan inovasi masing-masing untuk dikomersialkan,” katanya.

Tambah beliau, “Program MYHackathon 2022 ini juga secara tidak langsung berkait rapat dengan krisis sekuriti makanan yang mendapat perhatian khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong agar krisis ini ditangani segera. Usaha menangani isu krisis sekuriti makanan ini menjadi lebih bermakna jika rakyat turut berganding bahu dan sepakat untuk mengetengahkan penyelesaian berlandaskan teknologi.”

Peranan yang dimainkan oleh teknologi dan inovasi serta barisan start-up yang kreatif dilihat mampu memberi penyelesaian yang bernas kepada isu sekuriti makanan tersebut.

Dengan tema ‘Hackathon Nasional Untuk Malaysia Yang Inklusif’, program yang bermula pada bulan Julai 2022 ini terdiri daripada dua (2) kohort di mana setiap fasa bakal mempunyai, secara minimum, lima (5) pernyataan masalah.

Bagi kohort pertama, terdapat lima (5) pernyataan masalah telah dikemukakan oleh pihak kementerian dan agensi-agensi kerajaan iaitu:
1. Solusi untuk menyelesaikan masalah penyalahgunaan subsidi minyak masak rakyat.
2. Solusi digital memantau pengeluaran dan pemasaran hasil tani bagi tujuan ramalan tawaran dan permintaan hasil pertanian.
3. Solusi untuk aktiviti penuaian kelapa sawit yang lebih efektif.
4. Solusi penggunaan robot untuk aktiviti early reconnaissance Search and Rescue (SAR) untuk Jabatan Bomba.
5. Solusi pengawalan pencerobohan dron bagi tujuan penyeludupan atau tinjauan tidak sah ke kawasan akses terhad untuk Jabatan Penjara.

Pihak Cradle menjemput Keluarga Malaysia secara amnya untuk turut serta dalam program MYHackathon 2022 ini. Untuk maklumat lanjut mengenai ekosistem start-up Malaysia, program-program yang bakal dianjurkan Cradle dan juga maklumat berkaitan, boleh layari www.mystartup.gov.my.

Skip to content