Skip to main content
Berita

Komitmen Dan Sokongan MOSTI Memperkasakan Pembangunan Teknologi Baharu Dalam Industri Agrikomoditi

27 Julai 2022, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menyatakan komitmen dan sokongan untuk memperkasakan pembangunan teknologi baharu dalam industri agrikomoditi dan mengajak syarikat teknologi tempatan untuk meneroka dana-dana yang disediakan bagi mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba dalam ucapannya pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACES) 2022 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berkata, “MOSTI telah menganjurkan program latihan upskilling deeptech and future skills bagi membantu industri mendapatkan pekerja yang berkredibiliti dan mempunyai kemahiran kompeten selain membangunkan kapasiti pekerja menerusi pendedahan kepada keperluan sebenar industri.”

Tambah YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, program ini bertujuan untuk membantu Keluarga Malaysia yang mempunyai latar belakang kemahiran sains, teknologi dan inovasi khususnya di kalangan mereka yang hilang pekerjaan berikutan terkesan dengan pandemik untuk kembali bekerja dan seterusnya menjana pendapatan.

MOSTI dengan kerjasama agensi-agensi di bawahnya seperti Malaysian Research Accelerator Technology and Innovation (MRANTI) dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) akan bekerjasama dan menyokong KPPK serta pemain industri agrikomoditi. Perkara ini dapat dilakukan menerusi proses transformasi dan adaptasi teknologi, R&D serta pengkomersialan teknologi yang MOSTI yakini dapat membantu menambah baik industri.

Sehubungan itu, syarikat korporat serta peladang dan pekebun kecil dialu-alukan untuk berinteraksi dengan agensi-agensi di bawah MOSTI dan juga syarikat teknologi yang disokong oleh MOSTI bagi mendapatkan bantuan serta sokongan yang disediakan.

Pada masa yang sama, MOSTI turut menjemput ekosistem perladangan dan komoditi untuk tampil mendapatkan sebarang khidmat nasihat berhubung penyelesaian teknologi yang ditawarkan untuk diguna pakai secara meluas bagi peladang dan pekebun kecil tempatan.

MIACES 2022 yang dirasmikan semalam oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, berlangsung selama tiga (3) hari bermula 26 hingga 28 Julai 2022 di Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur melibatkan penyertaan daripada 39 buah negara dan lebih 350 syarikat antarabangsa.

Skip to content