Skip to main content
Berita

Enam (6) Kategori Pemenang Anugerah Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2020 Diumumkan Sempena Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2020

Putrajaya, 17 Disember – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2020 selama dua (2) hari bermula 17 hingga 18 Disember 2020 secara maya melalui portal mcysummit.mosti.gov.my. Sidang Kemuncak ini diadakan untuk mengiktiraf pencapaian penyelidik dan usahawan tempatan yang telah berjaya mengkomersialkan produk hasil R&D mereka di pasaran tempatan dan antarabangsa di sepanjang tahun ini.
Anugerah MCY 2020 disampaikan secara virtual oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Sebanyak enam (6) kategori Anugerah telah disampaikan dan pemenang-pemenang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1 juta beserta trofi dan sijil penghargaan. Pemenang bagi Anugerah Keseluruhan yang menerima wang tunai RM100,000.00 dirangkul oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) melalui produk Bituminous Cuplump (BC), Cuplump Modified Bitumen (CMB) dan Cuplump Modified Asphalt (CMA). LGM turut memenangi Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan melalui produk yang sama dengan nilai hadiah wang tunai sebanyak RM100,000.00, trofi dan sijil penghargaan.
Pemenang Utama bagi empat (4) kategori lain pula adalah:
(i) Anugerah Pencapaian Pengkomersialan dimenangi oleh DIA-Chemical Sdn. Bhd. melalui produk DIACHLOR Aluminium Chlorohydrate;
(ii) Anugerah Usahawan Penyelidik dimenangi oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui produk Technology Licensing of Epoxidized Methyl Oleate as Palm Based Plasticiser;
(iii) Anugerah Usahawan Sosial dimenangi oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui produk Square Fish Crackers and Drying Tray for Producing Crackers; dan
(iv) Anugerah Inovator Baharu dimenangi oleh Venigo Sdn. Bhd. melalui produk Vein Display Instrument.
Kesemua Pemenang Utama bagi empat (4) kategori anugerah tersebut menerima hadiah wang tunai RM130,000.00, trofi dan sijil penghargaan setiap satu.
Anugerah MCY juga turut mengiktiraf lima (5) lagi peserta untuk hadiah saguhati, iaitu wang tunai bernilai RM50,000.00 setiap satu beserta trofi dan sijil penghargaan.
Anugerah MCY ini diadakan untuk mengiktiraf sumbangan bakat tempatan kepada pertumbuhan ekonomi negara di samping meningkatkan motivasi penyelidik dalam mengkomersialkan produk/teknologi hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) masing-masing.
Skip to content