Putrajaya, 8 Jun 2012 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah selesai menjalani Penilaian Penarafan Bintang oleh Pasukan Penilai Penilaian Penarafan Bintang yang diketuai oleh Encik Kalibaskaran a/l Muniandy dari Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Penilaian ini telah berlangsung bermula dari 5 hingga 8 Jun 2012.
Sepanjang penilaian ini, pasukan Penilai telah bersungguh-sungguh melakukan penilaian dengan penuh komitmen dan telah mendapat kerjasama penuh dari seluruh warga MOSTI termasuk pengurusan tertinggi Kementerian. Segala usaha ini dilakukan demi memastikan Kementerian ini mencapai tahap prestasi kecemerlangan dalam meningkatkan sistem penyampaian.
Sehubungan itu, satu majlis taklimat ringkas Exit Conference telah diadakan pada pukul 3.00 petang bertempat di bilik Mesyuarat Utama MOSTI bagi membentangkan penemuan dan cadangan penambahbaikan sepanjang penilaian dilakukan. Majlis ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Madinah Mohamad, KSU MOSTI. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Pasukan Penilai, semoga segala usaha memberikan impak positif kepada Kementerian.