Skip to main content
Berita

Kunjungan Pasukan Penilai Bersempena Penilaian Penarafan Bintang ke atas MOSTI

By 2012-06-05Mac 10th, 2017No Comments

 

Putrajaya, 5 Jun 2012 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menerima kunjungan oleh Pasukan Penilai Penilaian Penarafan Bintang yang diketuai oleh Encik Kalibaskaran a/l Muniandy dari Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).  Pasukan ini terdiri daripada sepuluh (10) orang pegawai yang terdiri daripada pelbagai Jabatan dan Agensi seperti MAMPU, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Arkib Negara Malaysia.

Kunjungan ini bertujuan bagi menilai prestasi MOSTI bagi tahun 2011 sehingga tahun semasa bagi melayakkan penarafan Bintang diberikan ke atas kementerian dengan penarafan tertinggi sebanyak lima (5) bintang dengan peratusan Markah Penilaian di antara 90% hingga 100%.  Bagi tujuan ini, pihak MOSTI akan dinilai merangkumi tiga (3) komponen utama iaitu, A – Komponen Pengurusan yang melibatkan lima (5) kriteria; B – Komponen Perkhidmatan Teras yang meliputi empat (4) kriteria; dan C – Komponen Pengurusan Pelanggan yang mengandungi enam (6) kriteria.

Penilaian ini akan berlangsung bermula dari 5 hingga 8 Jun 2012 (Selasa hingga Jumaat) bertempat di Bilik Mesyuarat Transformasi, Tingkat 3, Blok C5, Bangunan MOSTI.  Berkenaan latar belakang Penilaian Penarafan Bintang atau Star Rating, ia disarankan oleh YAB Perdana Menteri pada 2 Februari 2005 di Mesyuarat Jemaah Menteri dan pada 1 Disember 2006 di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK).

Pada 8 Februari 2007, Mesyuarat Panel Memajukan Pentadbiran Awam (PANEL) memutuskan supaya Star Rating dilaksanakan bagi menggredkan tahap prestasi kecemerlangan agensi-agensi Kerajaan ke arah meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Skip to content