Skip to main content
Berita

FASILITI PENGHASILAN DAGING KULTUR PERTAMA DI MALAYSIA DENGAN PELABURAN RM20 JUTA BAKAL MEREVOLUSIKAN INDUSTRI MAKANAN MAMPAN

16 Mac 2023, Kuala Lumpur – YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan Persidangan Pertama Daging Kultur Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Mac 2023. Persidangan ini dianjurkan oleh Cell AgriTech dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) – sebuah agensi di bawah MOSTI.
Daging kultur adalah daging yang dihasilkan dari bioteknologi yang melibatkan pembiakan sel tisu haiwan dalam persekitaran makmal terkawal. Ianya berbeza dari kaedah penternakan haiwan konvensional yang melibatkan pemeliharaan dan penyembelihan haiwan. Hasilnya adalah replika daging sebenar yang berpotensi menawarkan rasa, tekstur, dan nilai pemakanan yang sama seperti daging yang diperoleh melalui kaedah penternakan konvensional.
YB Datuk Arthur Joseph Kurup dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa daging kultur adalah salah satu penyelesaian baharu untuk sumber daging mampan yang berpotensi merevolusikan industri makanan di Malaysia. Daging kultur bakal mengurangkan impak buruk kepada alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup haiwan, di samping memberikan alternatif yang lebih sihat dan selamat berbanding daging yang dihasilkan secara konvensional.
“Daging kultur merupakan komponen penting dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di Malaysia, khususnya di bawah Program Perdana 2, yang bertujuan untuk membangunkan ekosistem makanan untuk masa depan dengan menggunakan teknologi terkini seperti pertanian sel untuk produk daging buatan, produk marin, dan akuakultur. Pembangunan teknologi daging kultur di Malaysia bakal mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan di samping menangani cabaran-cabaran negara seperti keselamatan makanan, pengurusan kesihatan, dan perubahan iklim,” kata beliau.
Syarikat Bio-based Accelerator (BBA), Cell AgriTech Sdn Bhd, akan menubuhkan fasiliti penghasilan daging kultur pertamanya di SIRIM Kulim Hi-Tech Park bermula Mac 2023, dengan pelaburan tempatan berjumlah RM20 juta. Fasiliti terunggul ini merupakan kilang pengeluaran daging kultur yang pertama di Malaysia. Syarikat tersebut menjangka akan melancarkan produk daging kultur pertamanya pada Mei 2025.
336290757 680073123804156 4719525016635779968 n   336362521 2012079899136332 4062740130209977351 n
336023974 523224003290044 7912548813634240161 n   335929730 919397179184847 57072044663325007 n
Skip to content