Skip to main content
Berita

Galeri Pameran Robotik Cybernetics Tarikan Terbaharu Di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara

1 Julai 2022, Kedah – Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari telah merasmikan Galeri Pameran Robotik Cybernetics yang merupakan tarikan terbaharu di Pusat Sains Negara (PSN) Cawangan Wilayah Utara.

Berkeluasan 500 meter persegi, Galeri Pameran Robotik Cybernetics atau ringkasnya Galeri Cybernetics ini mengetengahkan sebanyak 16 bahan pameran.

Dengan tema ‘CYBERNETICS: Dunia Interdimensi Anda’, galeri ini bakal memberi pengalaman menyeronokkan termasuk berpeluang berinteraksi dengan robot secara interaktif.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berharap agar Galeri Cybernetics ini dapat menarik minat golongan muda untuk berkecimpung dalam dunia robotik dan automasi.

Galeri ini menempatkan sebanyak 16 bahan pameran yang menjelaskan teknologi robotik dengan tiga (3) elemen utama iaitu sensoring, thinking dan action dalam membantu, memudahkan serta mempengaruhi aktiviti seharian.

Galeri ini juga terbahagi kepada lima (5) segmen utama iaitu Warisan Automasi Islam, Anatomi Robot, Machine In Action, Beat The Machines dan Industri Pintar.

Selain daripada itu, PSN Cawangan Wilayah Utara juga turut membangunkan sebuah sudut baharu iaitu Tinkering Station yang menyediakan fasiliti, peralatan dan ruang yang kondusif dengan menawarkan aktiviti berasaskan kemahiran seperti membaiki peralatan, mereka bentuk dan kemahiran kreatif lain seperti mengukir, menghias, mengait serta banyak lagi.

Sempena perasmiannya, tiket masuk ke Galeri Cybernetics ini adalah PERCUMA selama satu bulan bermula pada Sabtu 2 Julai 2022.

Diharapkan agar Keluarga Malaysia di Wilayah Utara akan mendapat manfaat daripada kunjungan ke Galeri Cybernetics ini.

Skip to content