Skip to main content
Berita

MOSTI Lancar Program Pengesahan Teknologi Dan Pasaran Bagi Mempercepat Pembangunan Dan Pengeluaran Teknologi Kenderaan Elektrik Tempatan

1 Julai 2022, Johor – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini melancarkan program Campus for Local Electric Vehicle Expeditious Roll-out (CLEVER) di EduCity Iskandar, Johor. CLEVER yang diterajui oleh agensi di bawah MOSTI iaitu NanoMalaysia Berhad (NMB) adalah sebuah program bagi merancakkan penggunaan teknologi kenderaan elektrik (EV) di kawasan kampus universiti terpilih.

Inisiatif CLEVER ini akan dimulakan di EduCity Iskandar, diikuti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Program ini bertindak sebagai platform atau sandbox pengawalseliaan dan inovasi untuk membolehkan syarikat pemula dan inovator menjalankan eksperimen secara langsung dalam persekitaran terkawal. Ia akan meliputi mobiliti elektrik dua roda, stesen penukaran bateri, pembangunan penukaran kenderaan Enjin Pembakaran Dalaman (ICE) kepada EV, penggunaan sistem autonomi dan pengecasan luar grid menggunakan tenaga boleh diperbaharui yang dilaksanakan di kawasan kampus.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, pelancaran CLEVER adalah selari dengan fokus MOSTI untuk meningkatkan pembangunan dan penggunaan teknologi EV tempatan. Ia juga menyokong sasaran Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 untuk menyediakan kira-kira 5,000 buah stesen mengecas EV bagi mengukuhkan infrastruktur EV. Langkah ini juga secara tidak langsung akan menggalakkan rakyat untuk memiliki dan menggunakan EV sebagai pengangkutan pilihan.

Pada majlis yang sama, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan pelaksanaan CLEVER turut dimeterai.
Menerusi MoU di antara NMB dan UTHM, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam menjalankan penyelidikan dan perundingan bagi membangunkan produk, perpindahan teknologi atau idea baharu. Ini bagi menyokong usaha pelaksanaan inisiatif pengurangan kadar pelepasan karbon.

Selain itu, satu lagi MoU turut dimeterai di antara NMB dan UNITEN bagi pertukaran kepakaran, pengalaman dan kemahiran. Usaha sama ini akan memberikan pulangan faedah serta pertumbuhan bersama dalam skop CLEVER dan tenaga boleh diperbaharui bagi sistem pengecasan EV.

Seterusnya, MoU di antara NMB bersama UTM dan NMB bersama EduCity. Memorandum ini adalah untuk memanfaatkan rangkaian, bidang kepakaran, sumber pengetahuan seterusnya membentuk kerjasama erat di dalam skop CLEVER di antara ketiga-tiga pihak.

Skip to content