Skip to main content
Berita

Granumas™: Produk Graf Tulang Sintetik Hasil Teknologi SIRIM Terima Pengiktirafan Eropah

By 2014-04-17Disember 14th, 2020No Comments

UKK_0639-2

 

SHAH ALAM, 17 April – GranuMaS™, produk graf tulang sintetik berasaskan batu kapur  hasil penyelidikan SIRIM kini diiktiraf di peringkat antarabangsa, dengan penerimaan akreditasi ‘CE Mark’ yang membolehkannya menembusi pasaran negara-negara Eropah.

Kebolehupayaan produk tempatan ini menembusi pasaran antarabangsa adalah selaras dengan pelancaran Tahun Pengkomersilan MOSTI (MCY2014) Januari lalu yang memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kadar pengkomersilan teknologi dan proruk R&D seterusnya menyasarkan 60 produk R&D untuk dikomersilkan pada tahun 2014 bagi mencapai sasaran 360 produk menjelang 2020.

Produk bahan tulang sintetik ini turut mendapat kelulusan pasaran dari Kementerian Kesihatan Indonesia, Brunei dan Vietnam, dan kini sedang berusaha untuk memasuki pasaran Timur Tengah, Negara ASEAN lain seperti Thailand, Filipina, Myanmar, Kemboja dan Laos. Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menganugerahkan kontrak berpusat bagi membekalkan GranuMaS™ ke seluruh hospital kerajaan.

Projek yang bermula sejak tahun 2000 ini dibiayai oleh dana Program Penyelidikan Keutamaan (IRPA) berjumlah hampir RM12 juta oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Penghasilan bahan graf tulang ini diketuai oleh penyelidik SIRIM Berhad, Dr Fazilah Fazan dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Melalui projek ini, SIRIM telah berjaya membangunkan bahan Hydroxyapatite (HA) daripada kalsium fosfat bagi penghasilan GranuMaS™. Bahan HA ini telah mendapat ‘Malaysia Paten MY-140121’ bagi pembentukan HA daripada bahan mentah tempatan.

SIRIM Berhad telah memeterai Perjanjian Pelesen Teknologi dengan GranuLab (M) Sdn Bhd, pada 6 Februari 2007, yang membolehkan syarikat berkenaan mengeluar, membungkus,  mempromosi, mengedar dan seterusnya memasarkan GranuMaS™.
Produk yang dihasilkan di bawah Amalan Perkilangan Baik yang diiktiraf mengikut ISO 13485 merupakan projek di bawah pembiayaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Program Penyelidikan dalam Bidang Keutamaan, IRPA.
Sempena kejayaan GranuMaS™ menerima pensijilan CE Mark berkenaan daripada BSI United Kingdom, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Ewon Ebin telah melakukan lawatan kerja ke kilang pengeluarannya di Kota Kemuning di sini.  YB Menteri diiringi oleh Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad Dr Zainal Abidin Mohd Yusof, serta Pengarah Urusan GranuLab (M) Sdn Bhd. Romli Ishak. Penyerahan cek kepada dua kolaborator projek iaitu USM dan UIA yang masing-masing berjumlah RM48,000 turut dilakukan.

Datuk Dr. Ewon Ebin berkata, “produk graf tulang sintetik ini dibangunkan bagi membolehkan bahan perubatan lebih tersedia dan mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia, terutamanya yang melibatkan pembedahan tulang, tanpa perlu bergantung kepada produk import”
“Keperluan pembedahan cantuman tulang didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa berikutan peningkatan kes kemalangan serta jangkitan penyakit yang menyebabkan pelbagai kerosakan tulang,” tambah Datuk Dr. Ewon.
“GranuMas adalah sebahagian daripada produk R&D yang dibiayai MOSTI yang teleh menembusi pasaran tempatan dan luar negara” katanya lagi.
GranuMaS™ mengandungi lebih 99 peratus HA tulen yang mematuhi sepenuhnya Standard Amerika Syarikat, ASTM F1185 -88 (1993) (Komposisi Hydroxyapatite) untuk implan pembedahan). Ia kini telah digunakan di semua hospital kerajaan bagi membantu pembedahan seperti ortopedik, ENT, maksilofasial dan pergigian. Sesi Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) juga dijalankan di beberapa buah hospital sebagai satu cara untuk menggalakkan penggunaan GranuMaS™.