Skip to main content
Berita

Hub Pendidikan Kecerdasan Buatan (AI Education Hub) Pulau Pinang

9 Ogos 2024, Pulau Pinang – Hub Pendidikan Kecerdasan Buatan (AI Education Hub) Pulau Pinang telah dirasmikan hari ini oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Tuan Chang Lih Kang bertujuan untuk menaik taraf pendidikan dan pengetahuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan pelajar sekolah rendah hingga universiti, pendidik, dan masyarakat umum.
Menurut YB Chang Lih Kang, permintaan untuk kepakaran dalam bidang AI semakin meningkat di pasaran kerja sejajar dengan peningkatan pelaburan yang diterima daripada syarikat-syarikat teknologi global seperti Microsoft, NVIDIA dan ByteDance. Hub ini bakal memainkan peranan yang penting dalam memenuhi permintaan bakat berkemahiran tinggi dalam industri teknologi khususnya dalam bidang AI.
“Justeru, kami mensasarkan seramai 3000 peserta yang akan terlibat dalam inisiatif AI Education Hub menjelang tahun 2025. Saya yakin fasiliti yang tersedia akan mampu mempersiapkan bakat negara dalam memacu pembangunan teknologi AI, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hub AI terbaik di rantau ini,” tambah beliau.
Hub Pendidikan Kecerdasan Buatan ini adalah yang pertama seumpamanya di Pulau Pinang dan merupakan inisiatif bersama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, serta disokong oleh Konsortium Pendidikan Kecerdasan Buatan yang terdiri daripada 13 organisasi ternama.
Hub ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Artificial Intelligence Trainer GOTT-AIT-01, kit pembelajaran CocoPi, Quarky, EDU PICO AI Kit, dan peralatan AI seperti Intel GETI AI. Intel GETI adalah alat yang amat bermanfaat kerana ia memudahkan dan mempercepatkan pembangunan model AI, menjadikan teknologi AI lebih mudah diakses oleh semua pihak. Alat ini juga menyediakan perkakas yang kukuh untuk mengoptimumkan prestasi, memastikan aplikasi AI berfungsi dengan cekap pada perkakasan Intel.
Skip to content