Skip to main content
Berita

HyPERactor Hidrogen NMB Bekalkan Tenaga Bersih ke Kampung Orang Asli

18 Julai 2025, Perak – NanoMalaysia Berhad) (NMB), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), hari ini mencatatkan operasi awam pertama serta penempatan sebenar sistem penjana kuasa luar grid berasaskan hidrogen keadaan pepejal, HyPEReactor, di Perkampungan Orang Asli Tibang, Perak. Pencapaian penting ini menandakan langkah signifikan dalam pengesahan keupayaan sistem tersebut untuk membekalkan tenaga elektrik bersih dan selamat kepada komuniti luar bandar.

Dibangunkan melalui kerjasama NanoCommerce Sdn Bhd dan HyPERTech Industries Sdn Bhd, HyPEReactor menggunakan campuran bahan teknologi nano termaju untuk penjanaan hidrogen berkapasiti tinggi. Hidrogen yang dijana akan ditukar kepada elektrik melalui peranti sel bahan api dan mampu membekalkan kuasa berterusan tanpa pelepasan karbon. Ia sekaligus memastikan penduduk kampung memperolehi akses kepada tenaga bersih dan selamat bagi menyokong perkhidmatan penting dan kehidupan harian mereka.
Dalam membangunkan teknologi ini, Institut Sel Fuel di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memainkan peranan penting sebagai penasihat teknikal dan penyelidikan, khususnya dalam aspek prestasi sel bahan api dan integrasi sistem. Sementara itu, Limpahan Engineering Sdn Bhd terlibat dalam pembangunan teknologi dengan memanfaatkan kepakaran dalam reka bentuk kejuruteraan dan pemfabrikatan sistem. Syarikat ini mengendalikan keseluruhan proses daripada reka bentuk konsep dan pembuatan hingga pemasangan, automasi serta pengujian bagi memastikan penyelesaian yang boleh dipercayai, berkualiti tinggi dan sedia pasaran.
Perkampungan Orang Asli Tibang merupakan tapak pilihan pertama bagi projek ini oleh kerana capaian kepada bekalan elektrik grid stabil yang terhad dan kekerapan gangguan bekalan di kampung-kampung berdekatan. Isu tenaga elektrik ini telah menjejaskan perkhidmatan penting seperti komunikasi, pendidikan, dan penjagaan kesihatan. Dengan pemasangan HyPEReactor di bawah Program Ekonomi MADANI oleh MOSTI, penduduk Perkampungan Orang Asli Tibang dapat menikmati bekalan kuasa yang stabil, senyap dan bersih yang mampu meningkatkan kualiti hidup serta membuka peluang yang lebih baik untuk pembangunan komuniti.
YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, “Penempatan HyPEReactor merupakan manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dan negara untuk capaian tenaga yang saksama serta inovasi lestari. Inisiatif ini membawakan tenaga bersih dan selamat kepada komuniti yang paling memerlukannya serta mempercepatkandan mempermudahkan penerimaan teknologi hidrogen selaras dengan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) Malaysia”.
HyPEReactor dibangunkan di bawah program Hydrogen EcoNanoMY yang diterajui oleh NMB dengan kerjasama rakan teknologi tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agensi kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), institusi akademik dan rakan industri.
Skip to content