Skip to main content
Berita

Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 di Kelantan dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Timurv

9 Oktober 2023, Kota Bharu – Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 di Kelantan dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Timur berlangsung hari ini di Dewan Jubli Perak, Kota Bharu, Kelantan dan dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Program ini merupakan anjuran bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.
YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa MOSTI amat komited dalam memupuk minat para pelajar dan belia terhadap STI menerusi program Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics, melalui pendekatan hands-on dan tidak formal serta kaedah experiential learning dan pertandingan yang melibatkan pelajar dan belia di semua peringkat.
Karnival MSN dianjurkan di setiap negeri untuk meraikan kepelbagaian dan keperluan setiap negeri dengan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka yang tersendiri kepada umum, khususnya kepada anak-anak negeri ini. Karnival MSN menawarkan pelbagai pengisian interaktif seperti pameran berteraskan STI di reruai pameran, demonstrasi sains, Mini Planetarium, Pencerapan Solar, Pertunjukan Sains Interaktif, Planet VR dan bual bicara yang berteraskan STI serta mengikut kesesuaian masyarakat setempat.
Turut dianjurkan bersama adalah Malaysia Techlympics yang merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi. Ini adalah tahun kedua pelaksanaan program ini setelah dilancarkan pada tahun 2022.
Penganjuran Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Timur ini merupakan pelaksanaan zon kelima selepas Peringkat Zon Utara, Zon Sabah, Zon Tengah dan Zon Sarawak. Malaysia Techlympics 2023 akan diteruskan dengan zon terakhir iaitu Zon Selatan di Melaka. Seramai 800 orang peserta telah berkumpul bersama-sama dan bersaing di Peringkat Zon Timur ini bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan November 2023 di Putrajaya. Pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan (IoT), dron, pengkodan dan robotik yang dipertandingkan di peringkat negeri dan zon. Sehingga hari ini, Malaysia Techlympics telah berjaya meraih 1.7 juta penyertaan daripada seluruh negara.
Enam (6) tema yang menjadi tonggak utama bagi pertandingan Malaysia Techlympics pada tahun ini adalah Teknologi Sohor, Inovasi Kreatif untuk Kesejahteraan Rakyat, Sains dan Inovasi, Aeroangkasa, Kecerdasan Buatan dan Sains Data serta Keterangkuman Malaysia Madani.
Antara pengisian utama Malaysia Techlympics di bawah tema Keterangkuman Malaysia Madani juga adalah latihan kepada guru-guru Di Peringkat Zon Timur sendiri, sejumlah lima (5) buah lokasi akan dipilih bagi Program Jangkauan Keterangkuman dan Training of Trainers yang akan melibatkan para guru dan anak-anak negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Karnival MSN 2023 Di Kelantan dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Timur ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan menarik minat lebih daripada 2,000 penyertaan yang terdiri daripada komuniti setempat iaitu pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta orang awam.
Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics dijemput untuk melayari laman web rasmi minggusainsnegara.mosti.gov.my dan home.techlympics.my.
Skip to content