Skip to main content
Berita

Karnival Sains MOSTI Tingkatkan Kesedaran Masyarakat Terhadap Kepentingan STI

By 2022-05-18Jun 2nd, 2022No Comments

14 Mei 2022, Kota Tinggi – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan Karnival Sains MOSTI dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kehidupan seharian.

Negeri Johor dipilih sebagai lokasi penganjuran Karnival Sains MOSTI yang pertama untuk tahun ini memandangkan ia merupakan salah sebuah negeri penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dan STI. Ini dapat dilihat melalui perkembangan pesat pertumbuhan ekonomi terutama di Iskandar Malaysia, East Coast Economic Region dan Lembah Inovasi Johor.

Majlis perasmian Karnival Sains MOSTI ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata karnival ini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan tujuh (7) komponen bandar pintar, iaitu Smart Government, Smart People, Smart Economy, Smart Living, Smart Mobility, Smart Environment dan Smart Digital Infrastructure.

“Pelaksanaan Karnival Sains MOSTI di negeri Johor dilihat memberikan impak yang besar kepada keseluruhan masyarakat di Johor dalam merealisasikan pelbagai inisiatif. Program dan aktiviti pembudayaan STI akan dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama dari semua pihak di peringkat negeri terutamanya jabatan dan agensi di bawah MOSTI,” kata YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Karnival Sains MOSTI yang bertemakan ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’ ini diadakan bagi menyemarakkan inovasi sains dan teknologi kepada golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang sekali gus menggalakkan lebih ramai anak muda untuk meminati bidang STI.

YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, “Melalui karnival ini, MOSTI bercadang membawakan STI dekat dengan rakyat melalui perlbagai aktiviti yang bersifat interaktif, menarik dan menyeronokkan. Usaha ini dapat menginsankan STI dan diharap dapat menyemarak agenda inovasi di semua peringkat termasuk peringkat akar umbi.”

Karnival yang berlangsung selama sehari ini menghimpunkan pelbagai program antaranya pameran interaktif sains berkonsepkan 4IR, explorasi angkasa, dron dan robotik.

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Kimia Johor dan semoga terus cemerlang sebagai salah satu organisasi yang penting dalam pembangunan Negeri Johor,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Pada majlis yang sama, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi turut merasmikan Sambutan Jubli Emas Jabatan Kimia Malaysia Negeri Johor dan Pelancaran Portal Latihan Kerja Bidang Sains & Teknologi (Deeptech & Future Skills).

Skip to content