Skip to main content
Berita

Kembara Sains Borneo Siri 1, Mulakan Pengembaraan

21 Ogos 2023, Sabah – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meletakkan sasaran agar Malaysia berada dalam kedudukan ke 20 negara teratas di dunia dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang tahun 2050. Justeru, antara kaedah bagi mencapai matlamat tersebut, MOSTI sentiasa memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak di peringkat awal lagi.
Berucap di Majlis Perasmian Kembara Sains Borneo Siri 1, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, “Untuk menuju ke arah itu, kita memerlukan perubahan signifikan, kesediaan dan pembangunan modal insan, perbelanjaan, pembudayaan serta berjiwa besar. Topik berkaitan sains sering disebut sebagai subjek yang sukar atau susah untuk difahami dan ini merupakan cabaran yang perlu ditangani oleh semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.”
“Justeru, MOSTI komited dalam menjadikan sains sebagai salah satu topik yang menarik untuk setiap individu tanpa mengira usia. Bagi menyokong komitmen MOSTI dalam usaha “Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi” serta mengarus perdanakan inovasi, Minggu Sains Negara (MSN) kini sedang giat dilaksanakan bermula April 2023 sehingga November 2023. Program seperti Kembara Sains Borneo ini menyokong pelaksanaan MSN sebagai sebuah program turun padang untuk mendekatkan orang ramai dalam meneroka pelbagai topik berkaitan sains. Sesungguhnya sains itu menarik dan mudah difahami,” tambah YB Datuk Arthur Joseph Kurup.
Program Kembara Sains Borneo Siri 1 ini adalah anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) agensi di bawah MOSTI dengan sokongan padu oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Daerah dan rakan-rakan strategik yang lain.
Siri 1 ini akan berlangsung bermula 21 Ogos 2023 di Dewan Komuniti Kota Marudu, 22 Ogos 2023 di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Pitas dan 23 Ogos 2023 di Dewan Hakka, Kudat bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Kemasukan adalah percuma.
Pelbagai program dianjurkan sepanjang Kembara Sains Borneo Siri 1 ini antaranya aktiviti STEM seperti Chemist Mini Lab, DIY Kosmetik, Pemencilan DNA, Demonstrasi Dron, Pameran U-Science dan Pameran Petrosains PlaySmart. Manakala Program Komuniti dan Citizen Science pula membabitkan aktiviti seperti Aktiviti Biodiversiti & Pemuliharaan (Kesihatan Planet), Ceramah Keusahawanan Digital dan Perkongsian Keusahawanan.
MOSTI melalui Pusat Sains Negara (PSN) akan meneruskan Kembara Sains Borneo Siri Kedua bermula pada 15 September 2023 sehingga 1 Oktober 2023 di tiga lokasi iaitu Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan. MOSTI mensasarkan sejumlah 20 ribu pengunjung akan menyertai kedua-dua siri Kembara Sains Borneo ini.
Skip to content