22 Ogos 2023, Putrajaya – Bahagian Kewangan MOSTI telah menganjurkan Perhimpunan Bulanan MOSTI (Ogos) 2023 di Auditorium JPA, Kompleks C, Putrajaya pada hari ini.
Bertemakan “Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sempena bulan Kemerdekaan 2023, majlis ini dihadiri oleh YB Chang Lih Kang – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim – Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs Tuan Ooli Gunalan a/l Manickam – Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) MOSTI, Ketua-ketua Bahagian, Ketua-ketua Pengarah dan CEO serta warga MOSTI, jabatan dan agensi.
YB Chang Lih Kang dalam ucapannya menarik perhatian warga MOSTI kepada peranan yang perlu dimainkan oleh MOSTI dalam ekonomi madani, termasuk memperkasa peranan STI bagi memenuhi aspirasi Ekonomi madani untuk mencapai sasaran ditetapkan. Warga MOSTI juga diingatkan supaya meningkatkan semangat, menggandakan usaha dan berganding bahu bagi menjayakan matlamat MOSTI 2023.
Turut memberikan makna kepada majlis ini adalah persembahan sajak dan pentomin berkenaan Kemerdekaan daripada warga Bahagian Kewangan. Penyampaian hadiah turut dilaksanakan bagi beberapa aktiviti yang dijalankan bersempena bulan Kemerdekaan 2023 seperti Pertandingan Keceriaan Aras Bekerja dan Pertandingan Bola Tampar Campuran Piala YBM MOSTI 2023.
Selain itu, selaku penganjur majlis, Bahagian Kewangan juga telah meraikan dan menghargai sumbangan warga MOSTI yang telah menyumbang masa dan tenaga sebagai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa berkaitan perolehan Kementerian.
Bagi memeriahkan suasana majlis, semua tetamu jemputan digalakkan hadir dengan pakaian tema warna Jalur Gemilang atau pakaian etnik. Peserta yang menepati tema akan diberikan Anugerah Gaya Unggul. Puan Che’ Nor Azimah binti Che’ Wil daripada Plenetarium Negara telah dipilih sebagai pemenang anugerah kategori pakaian tema Jalur Gemilang. Manakala, Encik Mohd. Fadhlulah Yusrie Mohd Safri dari Bahagian Dana adalah menerima Anugerah Unggul bagi kategori Pakaian Etnik.
Bagi menyemarakkan sambutan Kemerdekaan, perasmian kejohanan sepak penalti Piala Datuk KSU MOSTI telah dilancarkan pada hari ini. Semua warga MOSTI dijemput menyertai kejohanan tersebut yang dianjurkan oleh KEMSAINS dan pada 9 September 2023 kelak.
Sebagai usaha menyebarluas maklumat mengenai pelaksanaan Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan (PPISK), Bahagian Kewangan telah menampilkan segmen khas bagi memperkenalkan produk kudapan daripada salah satu vendor yang terlibat dalam perusahaan sosial (Social Entrepreneur – SE) iaitu PichaEats. PichaEats merupakan sebuah SE yang menyediakan khidmat promosi, pemasaran dan penghantaran makanan yang dimasak oleh golongan pelarian.
Majlis diakhiri dengan persembahan lagu-lagu kemerdekaan dan laungan Kemerdekaan yang dipimpin oleh YB Menteri.