Skip to main content
BeritaCovid-19

Kerajaan Arab Saudi Sumbang 1 Juta Dos Vaksin Dan 4.5 Juta Unit Peralatan Perubatan Secara Percuma Kepada Malaysia

By 2021-07-30Ogos 4th, 2021No Comments
30 Julai 2021, Putrajaya – Peralatan perubatan sumbangan Kerajaan Arab Saudi telah selamat tiba di tanah air dan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia. Ini menandakan satu lagi detik yang istimewa dan bersejarah bagi hubungan Malaysia-Arab Saudi.
Kerajaan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Kerajaan Arab Saudi atas tindakan yang amat responsif bagi memastikan sumbangan ini dapat diserahkan hanya selang beberapa hari selepas Penjaga Dua Masjid Suci, Baginda Raja Salman Abdulaziz Al Saud sendiri menitahkan supaya King Salman Centre for Relief and Humanitarian Action (KSRelief) segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan demi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik ketika ini.
Secara keseluruhannya, Kerajaan Arab Saudi menyumbang 4.5 juta unit peralatan perubatan pelbagai jenis secara percuma kepada Malaysia dengan nilai keseluruhan dianggarkan 5 juta USD serta 1 juta dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca.
Ini bukan kali pertama Kerajaan Arab Saudi menghulurkan bantuan COVID-19 kepada Malaysia. Arab Saudi merupakan antara negara terawal yang tampil menyalurkan sumbangan iaitu kira-kira 8 juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia pada Mei tahun lalu. Ditambah sumbangan terbaru kali ini, ia sekaligus menjadikan Arab Saudi penyumbang terbesar bantuan COVID-19 kepada Malaysia setakat ini.
Kerajaan Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia, sekali lagi berterima kasih kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Baginda Raja Salman Abdulaziz Al Saud; Duli Yang Amat Mulia Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud; Menteri Luar Arab Saudi, Yang Mulia Putera Faisal bin Farhan Al Saud; dan seluruh kepimpinan tertinggi Kerajaan Arab Saudi.
Skip to content