Skip to main content
Berita

Kerajaan Memperkasa Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Produk Vaksin Tempatan – National Biotechnology Symposium 2022

10 November 2022, Bangi – Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim telah merasmikan National Biotechnology Symposium 2022 yang bertemakan ‘Embracing Homegrown Vaccine’ anjuran Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (FFUKM).

Pelbagai langkah dan inisiatif telah diambil oleh Kerajaan bagi meningkatkan kesediaan negara dalam menghadapi ancaman pandemik antaranya pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) bagi memantapkan lagi ekosistem pembangunan vaksin negara dan mengurangkan kebergantungan negara kepada vaksin dari luar negara.

Pembangunan vaksin negara ini tidak tertumpu kepada penghasilan vaksin COVID-19 semata-mata, tetapi ia turut diperluaskan bagi penyakit-penyakit lain iaitu vaksin kolera dan vaksin untuk kanser kepala dan leher (head and neck cancer).

YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin dalam ucapannya berkata, “MOSTI percaya, Malaysia mampu mencorak laluan dalam pengeluaran produk vaksin yang berkualiti berkesan dan selamat mengikut syarat ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) tanpa perlu bergantung kepada sumber dari negara luar.”

Dalam usaha menjayakan PPVN, kerajaan telah mengorak langkah untuk memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk vaksin tempatan. Sehingga akhir bulan Mac tahun ini, Kerajaan melalui MOSTI telah memperuntukkan projek-projek berkaitan bidang penyelidikan vaksin sebanyak RM55 juta di sepanjang Rancangan Malaysia ke-9 hingga ke 12 mengikut pecahan seperti berikut:

1️⃣ RMKe-9 berjumlah RM3,901,194.00;
2️⃣ RMKe-10 berjumlah RM7,031,770.00;
3️⃣ RMKe-11 berjumlah RM8,831,665.00;
4️⃣ RMKe-12 berjumlah RM35,696,000.00.

Selain itu, kerjasama antarabangsa juga sedang giat dijalankan dengan wakil-wakil industri dan universiti dari negara luar yang aktif dalam penyelidikan vaksin seperti Thailand dan China dalam menjayakan aspirasi PPVN.

Selari dengan PPVN dan Dasar Bioteknologi Negara 2.0, diharapkan agar penganjuran National Biotechnology Symposium 2022 ini akan dapat membuka lebih banyak ruang kepada para ilmuan, pelajar dan rakan industri untuk berkongsi idea dan tenaga bagi memartabatkan serta menghasilkan lebih banyak vaksin dalam dan luar negara. Diharapkan juga kerjasama dan sokongan semua pihak dapat diteruskan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeluar vaksin utama dunia.

 

314724205 501414725347521 4007910089279357769 n             314469976 501414652014195 1106651456644614877 n

314684304 501414615347532 6313247356584144533 n             314485617 501414585347535 8579604522337661933 n

314959726 501415058680821 7056110458575366090 n             315217741 501414808680846 7212910065210493925 n

Skip to content