25 Oktober 2023, Selangor – Konvensyen Teknikal Nuklear Malaysia (NTC) 2023 merupakan satu aktiviti penting yang diadakan di Agensi Nuklear Malaysia setiap dua tahun sekali semenjak daripada tahun 2000. Konvensyen ini merupakan satu platform untuk warga Nuklear Malaysia membentangkan dan menyebarkan pencapaian R&D (Penyelidikan & Pembangunan) serta pencapaian perkhidmatan sokongan dalam mengukuhkan program R&D di Nuklear Malaysia khususnya dan di peringkat negara amnya. Selain itu, ianya dapat dijadikan sebagai wadah penglibatan warga Nuklear Malaysia dalam berinteraksi, bertukar dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam bidang penyelidikan yang dijalankan.
Konvensyen yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 24 hingga 26 Oktober 2023 ini akan menampilkan pembentangan kertas secara lisan dan poster berkenaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta khidmat yang dijalankan di Agensi Nuklear Malaysia. Majlis Perasmian NTC 2023 hari ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
YBrs. Puan Ruziah dalam ucapan perasmiannya menyatakan Konvensyen Teknikal & Inovasi Nuklear Malaysia (NITC) 2023 ini merupakan satu platform bagi mendorong penyelidik tempatan untuk terus menghasilkan penyelidikan dan perkhidmatan sokongan yang cemerlang. Melalui gabungan dua acara yang meraikan inovasi serta pencapaian dalam penyelidikan dan perkhidmatan sokongan, ia dapat menyebarluaskan perkembangan aplikasi sains dan teknologi nuklear kepada orang awam.
Tema NTC iaitu “KECEMERLANGAN TEKNIKAL, KEMAJUAN INOVASI” yang dipilih untuk tahun 2023 ini signifikan dengan Nuklear Malaysia iaitu sentiasa membuat lonjakan paradigma dengan lebih pantas dan penyebaran idea yang lebih bernas dalam meningkatkan kecekapan output dan outcome menerusi aktiviti penyelidikan secara holistik.