4 Jun 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada YBhg. Dato’ Fenny Nuli, Duta Besar Malaysia ke Republik Austria, dan YBrs. Puan Sharon Ho Swee Peng, Duta Besar Malaysia ke Ireland.
YB Menteri merakamkan ucapan tahniah atas perlantikan kedua-dua duta serta menghargai kerjasama dan sokongan yang sentiasa diberikan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) kepada MOSTI dalam hal-hal yang melibatkan antarabangsa. YB Menteri berharap kerjasama erat ini akan terus terjalin bagi memperkukuh peranan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sesi perbincangan menumpukan kepada strategi bagi memperkukuh serta merintis kerjasama di peringkat antarabangsa, khususnya berkaitan dengan peranan MOSTI dan KLN. YB Menteri turut memohon kerjasama berterusan KLN untuk mengenal pasti potensi sektor dan bidang kerjasama yang sesuai untuk dirintis dan diperkukuh di negara-negara berkaitan, sejajar dengan hala tuju Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara.
Pihak KLN mengalu-alukan sebarang cadangan dan kerjasama daripada MOSTI untuk diketengahkan bersama pihak-pihak berkaitan di Austria dan Ireland, serta bersedia memfasilitasi dan memudahkan pelaksanaan kerjasama dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Turut hadir, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta wakil Bahagian Antarabangsa dalam sesi tersebut.





