Skip to main content
Berita

Majlis Perasmian “From Methane to Graphene: Revolutionising Industry with Graphene”

3 Jun 2026, Kuala Lumpur – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menyempurnakan Majlis Perasmian “From Methane to Graphene: Revolutionising Industry with Graphene” di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam sektor bahan termaju apabila menjadi satu-satunya negara ASEAN yang mempunyai program grafen di peringkat nasional. Usaha ini sekali gus meletakkan negara di barisan hadapan dalam pembangunan aplikasi, penggunaan industri dan pengkomersialan teknologi tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menekankan potensi grafen sebagai “bahan super” global yang kini berjaya dijelmakan menerusi ekosistem tempatan. Melalui agensi NanoMalaysia Berhad (NMB), kerajaan telah memacu pelbagai pelan tindakan strategik yang menyaksikan teknologi berasaskan grafen tidak lagi terhad kepada makmal penyelidikan sebaliknya mula diaplikasikan secara meluas dalam sektor tenaga, pembuatan, pertanian dan pembinaan oleh syarikat pemula niaga serta PKS tempatan.
MOSTI terus komited untuk membina rantaian ekonomi bernilai tinggi, inklusif dan mampan berasaskan inovasi bagi membolehkan industri tempatan melonjak dalam rantaian nilai serta bersaing di peringkat global. MOSTI juga turut menyokong inisiatif ekonomi kitaran menerusi Dana Penyelidikan Strategik untuk menukarkan biogas berasaskan sawit (biometana) kepada hidrogen dan grafen melalui proses pirolisis hidrogen. Langkah ini bukan sahaja menaik taraf sisa bio kepada bahan bernilai tinggi, malah bertindak sebagai mekanisme penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang menyokong agenda tenaga bersih negara.
Majlis turut menyaksikan pelancaran kerjasama strategik antara Gas Malaysia Berhad dan syarikat United Kingdom, Levidian, menerusi pemasangan teknologi ‘LOOP’ yang pertama di rantau Asia Pasifik. Teknologi baharu ini dijangka melengkapkan kemudahan sedia ada, meningkatkan pengeluaran grafen nasional serta membuka peluang perkongsian kepakaran bagi memperkasakan ekosistem bahan-bahan termaju.
Skip to content