Skip to main content
Berita

Lawatan Kerja Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ke Agensi Angkasa Malaysia – MYSA

Selangor, 23 Jun 2020 – YB Khairy Jamaluddin dan YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim bersama Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah binti Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, YBrs. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan hari ini meneruskan siri lawatan kerja ke Kompleks Teknologi Angkasa,  Agensi Angkasa Malaysia – MYSA di Banting Selangor.

Agensi Angkasa Malaysia (Malaysian Space Agency–MYSA) telah diluluskan penubuhannya pada 20 Februari 2019 oleh Mesyuarat Jemaah Menteri melalui penggabungan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM). Ini adalah salah satu langkah permulaan kerajaan dalam melaksanakan Dasar Angkasa Negara 2030 di mana teras pertamanya ialah mengukuhkan tadbir urus kerajaan dalam sektor angkasa. MYSA juga berfungsi sebagai sebuah agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang teknologi angkasa.

YB Menteri dan delegasi diberi taklimat mengenai aktiviti berkaitan teknologi angkasa yang merangkumi penerimaan data satelit di Stesen Penerima Data Satelit di Temerloh, Pahang; penyelidikan dan pembangunan aplikasi di Ibu Pejabat, Kuala Lumpur; aktiviti pembangunan dan pengoperasian satelit di Kompleks Teknologi Angkasa (KTA) di Banting; dan aktiviti sains dan eksplorasi angkasa di Observatori Negara Langkawi (ONL). Dalam lawatan kerja tersebut delegasi telah dibawa untuk melawat ke Stesen Kawalan Misi dan Makmal Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (AIT) yang dilengkapi dengan peralatan termaju dan canggih.

Stesen Kawalan Misi telah mula beroperasi pada tahun 2005 khusus untuk aktiviti pengoperasian Telemetri, Penjejakan dan Kawalan (TT&C) satelit. Stesen ini dilengkapi dengan beberapa sistem antena untuk komunikasi uplink dan downlink antara stesen bumi dan satelit di angkasa. Stesen ini telah berjaya melaksanakan aktiviti TT&C bagi beberapa projek angkasa yang melibatkan satelit negara serta projek-projek daripada agensi antarabangsa seperti Satelit Flying Laptop (FLP) milik Institut Sistem Angkasa ((Institute of Space Systems – Institut für Raumfahrtsysteme, IRS), Universiti Stuttgart, Jerman pada 2018.

Manakala Makmal Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (AIT) telah memulakan operasi pada tahun 2013 dan dibangunkan bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan pengujian dan pengukuran yang lengkap dan komprehensif bagi memastikan sesebuah satelit yang dibangunkan mematuhi keperluan teknikal yang telah ditetapkan. Peralatan-peralatan pengujian dan pengukuran yang terdapat di fasiliti AIT ini mampu mensimulasikan keadaan persekitaran sebenar yang akan dialami oleh sesebuah satelit daripada fasa pelancaran sehingga ditempatkan ke orbit. Selain daripada pengujian satelit, perkhidmatan pengujian dan pengukuran yang dilaksanakan di fasiliti ini turut dimanfaat oleh industri dan institusi pengajian tinggi seperti SIRIM, Sapura, Daikin, Proton, Modenas, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional.

 

Skip to content