Skip to main content
Berita

Lawatan kerja YB Khairy Jamaluddin dan YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim diteruskan ke satu lagi agensi di bawah MOSTI iaitu Yayasan Inovasi Malaysia – YIM

Putrajaya, 3 Jun 2020: Lawatan kerja YB Khairy Jamaluddin dan YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim diteruskan ke satu lagi agensi di bawah MOSTI iaitu Yayasan Inovasi Malaysia – YIM – Malaysia Innovation Foundation. YIM merupakan sebuah Yayasan yang membentuk dan menggalakkan nilai kreativiti terhadap bidang sains dan teknologi melalui badan akademik, industri dan masyarakat terutama di kalangan akar umbi dan golongan B40.

Sebagai sebuah agensi di bawah MOSTI, dengan aspirasi menyemai dan membudayakan inovasi, YIM telah menggerakkan pelbagai inisiatif ke seluruh pelusuk Malaysia. Inisiatif ini dilaksanakan bagi menjejak inovasi akar umbi yang mempunyai nilai pasaran bagi meningkatkan pendapatan berterusan masyarakat luar bandar melalui pendekatan inovasi sosial.

YIM juga berperanan dalam menyokong pembangunan inovasi akar umbi bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat terutamanya kualiti kehidupan golongan B40 dalam penciptaan sesuatu solusi dan idea inovatif kepada permasalahan sosial. Inovasi akar umbi turut memberi kepentingan dalam memelihara alam sekitar, mengurangkan kos dan kebergantungan kepada produk luar.

Hala tuju YIM pada masa hadapan dan seterusnya adalah mempromosikan inovasi akar umbi melalui kolaborasi bersama syarikat media, mengukuhkan ekosistem inovasi sosial, menggalakkan inovator dalam penggunaan teknologi automasi, menyokong pembangunan produk inovasi dalam menangani krisis, mengukuhkan kemahiran keusahawanan inovator serta memperluaskan skala inovasi dengan kerjasama bersama kerajaan, agensi dan syarikat swasta.

Selesai taklimat, delegasi MOSTI turut dibawa ke Galeri Produk Inovasi YIM yang mempamerkan sebahagian produk-produk inovasi melalui program YIM sejak tahun 2010.