Skip to main content
Berita

Lawatan Kerja YBM dan KSU MOSTI Ke Gamma Spectrum Water Monitoring Station (GSWMS)

29 Ogos 2023, Sabah – YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bersama-sama YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI meninjau tapak Gamma Spectrum Water Monitoring Station (GSWMS) yang terletak di Jeti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah.
Encik Mohd Irwan Effendi Mohd Nordin dan Encik Rozman Mohd Tahar dari Bahagian Sokongan Teknikal, Atom Malaysia memberikan penerangan ringkas berhubung fungsi GSWMS. Atom Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan orang awam dan alam sekitar negara sentiasa terpelihara daripada sebarang bahaya sinaran.
Sistem GSWMS ini yang di pasang di jeti Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada penghujung Jun 2023 yang lalu, menggunakan pengesan jenis Nal(Tl) di mana ia mempunyai fungsi untuk mengukur jumlah aktiviti dan jumlah kadar dos, serta melakukan analisis nuklid melalui penentuan spektrum tenaga bagi mengenalpasti jenis radionuklid dan aktivitinya di dalam air laut pada kedalaman minima 10 meter dari aras permukaan laut.
Sistem ini berfungsi secara automatik 24 jam sehari / 7 hari seminggu bagi mengesan perubahan kecil komposisi spektrum nuklear dalam persekitaran akuatik sebagai data rujukan bagi memberi amaran awal sekiranya berlaku pengesanan yang melampaui aras kawalan ditetapkan yang disebabkan oleh penyerakan radionuklid kemalangan radiologi di negara serantau.
Data yang dicerap dari sistem ini direkodkan secara “real time” dan sentiasa dipantau di Pusat Pengurusan Tindakan Nuklear Kebangsaan di Jabatan Tenaga Atom.
Skip to content