Skip to main content
Berita

Lawatan Kerja YBM MOSTI ke Petros Multifuel Station operated by SEDC Energy

21 September 2023, Sarawak – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), mengadakan lawatan rasmi ke Petros Multifuel Station operated by SEDC Energy pada hari ini untuk melihat kemajuan Stesen Pengisian Hidrogen Bersepadu (Hydrogen Refueling Station). Lawatan ini bertujuan untuk menyaksikan perkembangan Stesen Pengisian Hidrogen milik SEDC yang merupakan usaha penting dalam menggalakkan penggunaan hidrogen sebagai bahan tenaga bersih dan mampan di Malaysia.

Stesen Pengisian Hidrogen Bersepadu oleh SEDC merupakan langkah yang penting dalam usaha meningkatkan penggunaan hidrogen bagi tujuan mobiliti hijau di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya, pada masa yang sama menyokong inisiatif kerajaan untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan penyahkarbonan.
Semasa lawatan ini, delegasi MOSTI yang diketuai oleh YB Tuan Chang Lih Kang telah disambut oleh pasukan projek Multifuel Refuelling Station SEDC Energy. YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah diberikan penerangan terperinci mengenai kemajuan projek Stesen Pengisian Hidrogen dan langkah-langkah yang telah diambil oleh SEDC dalam mempromosikan penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga masa depan.
Multifuel Station SEDC di Sarawak, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif utama untuk membangunkan stesen bahan api pelbagai jenis di seluruh negeri. Fasiliti canggih ini berfungsi sebagai pusat untuk keperluan tenaga yang pelbagai, menawarkan bukan sahaja bahan api konvensional tetapi juga penyelesaian canggih seperti stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan, yang penting, stesen pengisian hidrogen awam pertama di Sarawak untuk Kenderaan Sel Bahan Api Hidrogen.
Pembinaan infrastruktur tenaga ini menggariskan komitmen Sarawak untuk memacu penyelesaian tenaga yang mampan dan inovatif, meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam peralihan menuju pilihan pengangkutan yang lebih bersih dan hijau untuk masa depan.
YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam lawatan beliau telah mengutarakan kepentingan memperkasakan ekosistem tenaga berasaskan hidrogen di Malaysia selari dengan perencanaan agenda hidrogen kebangsaan melalui Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (Hydrogen Economy and Technology Roadmap – HETR) yang bakal dilancarkan kelak.
Sektor tenaga negara yang akan dipacu HETR dijangka akan mewujudkan ekonomi hidrogen di Malaysia, menjana pendapatan negara sehingga RM12.1 bilion dan memastikan sektor hidrogen menyumbang antara RM49 bilion sehingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2030.
MOSTI telah membangunkan HETR sebagai landasan strategik pembangunan ekonomi hidrogen negara melalui pemacuan teknologi tinggi melalui pendekatan ‘Bina Sebahagian, Beli Sebahagian’ atau ‘Build Some, Buy Some’ di sepanjang rantaian nilai ekonomi hidrogen serta pembangunan ekosistem dan bakat tempatan.
YB Chang Lih Kang mengalu-alukan usaha progresif kerajaan Negeri Sarawak dan SEDC dalam pembangunan teknologi hidrogen di negeri ini. Inisiatif seperti Multifuel Station adalah langkah ke depan yang penting dalam mewujudkan ekosistem tenaga yang lebih lestari dan inovatif. Ia menandakan bukan sahaja kemajuan dalam teknologi hijau, tetapi juga komitmen berterusan Sarawak untuk menjadi peneraju dalam transformasi tenaga negara.
Skip to content