6 Mac 2023, Penang – YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah merasmikan Galeri Dron yang merupakan tarikan terbaharu di Tech Dome Penang di samping usaha untuk meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat umum dalam teknologi dron.
Galeri dron ini membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman menerbangkan dron di mana ianya menampilkan pelbagai jenis dron terbang serta beberapa dron lain untuk dipaparkan. Ia juga termasuk stesen terbang dron digital.
Teknologi dron kian berkembang dan digunakan dalam pelbagai bidang seperti pertanian, pemetaan, pengawasan keselamatan, penghantaran barang, operasi pencarian dan menyelamat (Search & Rescue – SAR), dan bencana.
MOSTI melalui MRANTI telah membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30). Antara misi utama MDTAP30 adalah untuk memperbanyakkan penggunaan teknologi dron dalam sektor pertanian bagi meningkatkan hasil, mengurangkan kebergantungan pekerja asing serta memberi peluang pekerjaan kepada para petani terutamanya di kawasan luar bandar.