20 Januari 2025, Selangor – YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, hari ini merasmikan Pusat Teknikal APAC baharu Anton Paar, yang juga menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan Anton Paar Malaysia.
Pusat ini merupakan langkah strategik dalam memacu kemajuan teknologi negara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau.
Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Tuan Andreas Launer, Duta Besar Austria, Dr Friedrich Santner, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Anton Paar, Ms. Astrid Greiner, Pengarah Wilayah Asia Pasifik Kumpulan Anton Paar serta pemimpin industri global yang lain.
Pusat Teknikal APAC ini akan memberi manfaat besar kepada pembangunan bakat tempatan melalui peluang pekerjaan dan pertukaran pengetahuan di peringkat global.
Selain itu, ia akan menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor strategik negara seperti kesihatan, keselamatan makanan, dan tenaga hijau, sejajar dengan matlamat Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.