Skip to main content
Berita

Lawatan Kerja YBTM MOSTI Ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Nangka, Tuaran Sabah

15 Ogos 2024, Sabah – YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Nangka, Tuaran Sabah bersempena Kembara Sains Borneo 2024 anjuran Pusat Sains Negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Nangka, Tuaran Sabah dipilih sebagai sekolah hub pelaksanaan KSB 2024 di daerah Tuaran dengan penyertaan sehingga 1,537 orang pelajar. Istimewanya KSB 2024, PSN menampilkan bas PSN Trooperz On The Move yang akan dibawakan khas oleh Pusat Sains Negara.
Bas PSN Trooperz On The Move merupakan bas pameran Pusat Sains Negara (PSN) berkonsepkan hands on, hearts on, minds on yang memulakan misinya sejak tahun 2007. Bas ini dilengkapi dengan 24 bahan pameran interaktif bertemakan STEM bertujuan memupuk pemikiran kreatif dan inovatif seterusnya merangsang minda ke arah pemikiran saintifik.
KSB 2024 menjelajah ke sepuluh (10) daerah di Sabah bermula di Lahad Datu pada 1 Ogos 2024, melalui Kinabatangan dan Ranau dan berakhir di Kota Kinabalu. Selepas itu, KSB 2024 akan meneruskan pengembaraan ke lima (5) buah daerah di Sarawak bermula di Miri dan berakhir di Kuching. Pengembaraan ini melibatkan lebih 20 sekolah terpilih dan beberapa sekolah lain sebagai lokasi persinggahan dengan anggaran peserta yang menerima manfaat adalah seramai 15,000 orang.
Melalui program ini, PSN akan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif yang menarik berkonsepkan Hands On, Minds On, Hearts On selaras dengan usaha memperkenalkan pembelajaran sains bukan formal kepada masyarakat.
Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang penjelajahan KSB 2024 adalah sesi Ceritera Sebalik Radas daripada saintis-saintis terkenal, Kinect Sports, Drone Challenge, Demonstrasi Sains, Let’s Xperiment, STEM Challenge, Mini Planetarium, Planet Virtual Reality dan banyak lagi.
Turut hadir, YBrs. Encik Abdullah bin Daud, Setiausaha Bahagian (Pembudayaan dan Perkhidmatan STI) MOSTI, YBrs. Encik Mohammad Fuad bin Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara dan Dr. Pascal Hos, Country Head, Malaysia & Vietnam Hibiscus Petroleum Berhad dan YBhg. Datuk Eddie Abdullah, Ketua Perhubungan Komuniti dan Kerajaan, Hibiscus Petroleum Berhad.
Skip to content