Skip to main content
Berita

Lawatan Kerjasama Strategik Dan Pembudayaan MOSTI Ke Pulau Pinang

19 Februari 2023, Pulau Pinang – Sesi Lawatan Kerja sehari ini yang diketuai oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI bertujuan mengenal pasti isu dan cabaran dalam pelaksanaan projek dan program pembudayaan sains di kalangan masyarakat setempat khususnya di Pulau Pinang. Lawatan ini juga membolehkan Kementerian serta agensi berkaitan merangka jalan kerja yang lebih efektif bagi mencapai agenda MOSTI sebagai peneraju pembangunan dan pembudayaan STI negara.

Sebanyak tiga (3) lokasi telah dilawati iaitu di Centre for Marine and Coastal Studies (CEMACS), Penang Science Cluster (PSC) dan Pusat Sains Interaktif (Techdome).
Lokasi 1:
Centre For Marine And Coastal Studies (CEMACS) yang terletak di Taman Negara Pulau Pinang merupakan sebuah pusat kajian sains marin dan ekosistem pesisir pantai di bawah Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditubuhkan sejak tahun 1991. Pusat ini komited dalam pemuliharaan ekosistem dan sustainable development goals (SDG) melalui inisiatif Blue Carbon dan Ecological Restoration Plan. Sebuah galeri biodiversiti lautan sedang dibina di pusat berkenaan bagi tujuan pendidikan kepada pelajar dan pengunjung pusat berkenaan.
Lokasi 2:
Penang Science Cluster (PSC) merupakan sebuah pusat latihan hands-on bagi menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Berfokuskan kepada penggunaan teknologi terkini Industri 4.0, pusat ini telah berjaya menarik minat lebih 60,000 pelajar dan latihan kepada lebih 2,000 guru sekitar Pulau Pinang dan negeri-negeri di utara Semenanjung tanah air. Pusat ini mendapat sokongan penuh Kerajaan negeri serta industri/syarikat/NGO di sekitar Pulau Pinang.
Lokasi 3:
Lokasi terakhir yang dikunjungi oleh delegasi MOSTI merupakan sebuah Pusat Sains Interaktif yang dikenali sebagai Tech Dome Penang. Terletak di lokasi strategik di tengah Bandaraya Pulau Pinang, Techdome menerapkan pendidikan sains melalui pengalaman (experiential learning) bagi pengunjung ke pusat tersebut. Pada tahun 2022, Techdome telah menerima seramai 68,430 pelawat. Techdome juga aktif dalam menganjurkan pelbagai program pembudayaan sains dan teknologi di sekitar Pulau Piñang. Techdome juga terlibat dalam program-program jerayawara di peringkat nasional anjuran MOSTI seperti Techlympic dan Minggu Sains Negara.
Turut bersama semasa sesi lawatan ini ialah YBrs. Puan Ruziah Shafie, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains); YBrs. Puan Mismah Jimbun, Pengarah Pusat Sains Negara; dan YBrs. Dr. Sharmila Salleh, Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia.
DSC 5028  DSC 4971
DSC 4942  DSC 4967
DSC 4905  DSC 4876
Skip to content