Skip to main content
Berita

Lawatan Menteri MOSTI ke NUKLEAR Malaysia

By 2014-03-06Disember 14th, 2020No Comments

UKK_7628

 

Nuklear Malaysia telah menganjurkan Majlis Penyerahan Reactor Digital Instrumentation System (ReDICS) dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan Local Strategic Partners pada 6 Mac 2014 bertempat di Nuklear

Malaysia.Penyerahan ReDICS merupakan acara kemuncak yang menandakan berakhir projek menaik taraf sistem konsol di Reactor Triga PUSPATI MARK 11 dari sistem analog ke sistem digital yang meningkatkan keselamatan operasi reaktor.

Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI). Turut hadir ialah YB Datuk Abu Bakar b Mohamad Diah, Timbalan Menteri MOSTI, Tuan Yang Terutama Cho Byung Jae, Duta Republik Korea di Malaysia serta Presiden Korea Atomic Energy Research Institute (KAERI), Dr Kim Jong Kyung.

Program di mulakan dengan lawatan rombongan Menteri ke Kompleks Agensi Nuklear Malaysia, Jalan Dengkil pada pukul 9 pagi bagi melihat tapak cadangan projek Cyclotron.  Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBhg Dato’ Dr Muhamad Lebai Juri telah memberi taklimat tentang projek cyclotron yang bakal diselaraskankan oleh Bahagian Teknologi Perubatan.

Seterusnya, rombongan Menteri MOSTI telah dibawa ke Blok 11, Kompleks Utama Nuklear Malaysia untuk Majlis Penyerahan  ReDICS  dan Pertukaran  MoU  di antara Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan rakan strategik tempatan. Pengisian majlis tersebut bermula dengan pemeriksaan kawalan kehormat pasukan keselamatan fizikal Nuklear Malaysia oleh YB Menteri.

Majlis di Dewan Tun Dr Ismail dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg Dato’ Ketua Pengarah Nuklear Malaysia diikuti dengan ucapan dari President Kim dari KAERI dan ucapan perasmian dari YB. Menteri MOSTI.

Di antara isi ucapan perasmian beliau, YB. Datuk Dr Ewon Ebin telah melahirkan harapannya supaya Nuklear Malaysia menjadikan projek ReDICS sebagai contoh kepada orang awam tentang kesungguhan Nuklear Malaysia mengutamakan keselamatan di dalam menjalankan aktiviti berasaskan nuklear.

Seterusnya, YB. Datuk Dr Ewon Ebin telah menyaksikan acara kemucak majlis di mana President KAERI telah menyerahkan dokumen penyerahan ReDICS kepada Ketua Pengarah Nuklear Malaysia.

Ini disusuli dengan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Non Disclosure Agreement (NDA) di antara Nuklear Malaysia, diwakili oleh Ketua Pengarah dengan  wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Malaysian Agri Hi-Tech Sdn Bhd, Nano Malaysia Berhad dan Inovatif Teguh Construction Sdn Bhd. Pertukaran dokumen kerjasama ini ialah untuk meningkat keupayaan Nuklear Malaysia di dalam mengkomersialkan produk dan perkhidmatan

Rombongan Menteri MOSTI kemudian di bawa ke Reaktor Triga PUSPATI di Blok 20 untuk acara perasmian operasi ReDICS. YB. Menteri telah berpeluang menekan ikon di konsol digital bagi memulakan operasi reaktor.  Ini disusuli dengan lawatan ke kolam reaktor di ikuti dengan acara menandatangani plak tanda perasmian ReDICS.

Lawatan Menteri MOSTI diakhiri dengan sidang akhbar dengan pihak media di galeri reaktor.