Skip to main content
Berita

Lawatan Rasmi Perdana Menteri ke MIMOS Berhad

21 November 2023, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk lawatan rasmi ke MIMOS Berhad hari ini.
Lawatan rasmi ini bertujuan untuk Perdana Menteri melihat secara langsung potensi luas MIMOS sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan (R&D) Negara di bawah MOSTI dalam membantu wawasan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi dan berdaya saing di peringkat global dan merealisasikan MALAYSIA MADANI.
YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, mengetuai lawatan tersebut yang turut dihadiri oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail, Menteri Dalam Negeri; YB Dr Zaliha Binti Mustafa, Menteri Kesihatan; YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan; YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI dan YM Tengku Datuk Dr Mohd Azzman Shariffadeen, pengasas MIMOS dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), yang juga berkhidmat sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi Negara.
Semasa berucap kepada Pengurusan dan kakitangan MIMOS, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan hubungannya yang telah lama terjalin dengan MIMOS dimana beliau pernah mempengerusikan mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) pada sekitar tahun 90-an sebagai Timbalan Pengerusi NITC yang mana MIMOS adalah sekretariatnya.
Beliau menekankan bahawa penyelidikan dan kerjasama MIMOS sejajar dengan matlamat yang digariskan dalam rangka kerja ekonomi ‘MALAYSIA MADANI’, Ekonomi Digital, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR). YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan terhadap tumpuan MIMOS terhadap Semikonduktor, Elektronik Termaju & Sistem Terbenam, dan teknologi ICT Strategik lain terutamanya yang berkaitan dengan Negara Pintar dengan memastikan keselamatan dan kedaulatan teknologi negara yang akan mempercepatkan kemajuan industri teknologi Malaysia. Beliau juga memuji kemudahan canggih MIMOS untuk menyokong pemain industri, dan penyelidik serta memupuk bakat masa depan dalam teknologi.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga mengumumkan pelantikan MIMOS Berhad sebagai Agensi Pelaksana program Digital ID Negara dengan peruntukan awal yang dianggarkan sebanyak RM80 juta.
MOSTI, sebagai Kementerian penyelia untuk MIMOS Berhad, telah mengamanahkannya dengan beberapa mandat utama. Ini termasuk melaksanakan Pelan Hala Tuju E&E: Pembangunan Teknologi 2021-2030 untuk meningkatkan nilai industri E&E tempatan, menerajui Pelan Hala Tuju Rantaian Blok Nasional untuk memperkukuh peranan Malaysia dalam teknologi Blockchain, dan memacu Pelan Pembangunan Kepintaran Buatan (AI) Negara untuk pertumbuhan strategik dan daya saing.
YB Chang Lih Kang berkata, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MIMOS atas dedikasi dan usaha berterusan anda dalam menyokong MOSTI untuk mencipta platform untuk membentuk masa depan landskap teknologi Malaysia. Beberapa penyelesaian teknologi yang sedang dibangunkan oleh MIMOS termasuk Analisis Sentimen, Blockchain, Semikonduktor dan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy). MIMOS juga menyediakan Nasihat dan Advokasi Teknologi. Saya percaya MIMOS boleh memainkan peranan yang lebih besar sebagai pemangkin kepada industri Teknologi Malaysia melalui kejayaan penyampaian semua mandatnya.”
Skip to content