Skip to main content
Berita

Lawatan Tapak Projek Ternakan Moden Kelulut Modular Inovasi UTM Di Simpang Renggam, Johor

28 Mac 2023, Johor Bahru – YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meneruskan sesi lawatan kerja hari ini ke tapak Projek Ternakan Kelulut Modular Inovasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Simpang Renggam, Johor.

Teknologi Bee-Modular-UTM yang diperkenalkan merupakan satu inovasi kepada reka bentuk sarang lebah kelulut menggunapakai bahan khas yang lebih tahan lama, kalis cuaca dan mudah dikendalikan hasil kajian UTM. Projek yang diketuai oleh Dr. Mohd Khairuddin bin Ramliy merupakan projek kerjasama Koperasi Eco Usahawan Johor Berhad dan telah mendapat pembiayaan dana di bawah Program Malaysia Inovasi Sosial (MyIS) MOSTI.
Program MyIS merupakan satu inisiatif Kementerian berasaskan prinsip tanggungjawab sosial menerusi aplikasi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) yang dapat memberi manfaat kepada komuniti B40. Pada lawatan ini juga, YBhg. Datuk KSU MOSTI turut menyaksikan Sesi Penyerahan Mock Cheque Projek MyIS Komuniti oleh YBrs. Dr. Sharmila binti Mohamed Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) kepada Naib Canselor UTM melibatkan projek Peningkatan Ekonomi B40 Melalui Ternakan Kelulut Moden Bee Modular UTM.
Lawatan ini turut disertai oleh YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) dan En. Nik Kamaruzaman bin Nik Husin, Setiausaha Bahagian PSTI. Delegasi MOSTI telah disambut oleh YBhg. Professor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor UTM dan YBhg. Datuk Zakaria bin Dullah, Pengerusi Koperasi Eco Usahawan Johor Berhad.
MOSTI komited memberi sokongan dan menggalakkan hasil inovasi tempatan digunakan oleh masyarakat secara inklusif, terutama dalam membantu meningkatkan pendapatan dalam kalangan B40 dan kesejahteraan yang lebih terangkum. Langkah berikutnya adalah memastikan projek dapat dimanfaatkan secara maksimum oleh komuniti.
338029525 143411692002658 4014339503578937631 n    338188491 235983508904388 698945135562894608 n
338485773 1455727785235413 5676063356300367937 n    337982898 1277873692820501 1251090580658626495 n
Skip to content