Skip to main content
Berita

Lawatan Turun Padang KSU MOSTI Ke Agensi Nuklear Malaysia

30 September 2026 , Kajang – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mengadakan Lawatan Turun Padang ke Agensi Nuklear Malaysia bagi meninjau pelaksanaan projek pembangunan serta memastikan setiap projek memberi impak kepada keupayaan strategik agensi.

Lawatan memberi tumpuan kepada dua projek utama, iaitu Projek Perolehan Peralatan Kemudahan Akreditasi dan Pengujian NDT Termaju ke atas Struktur Kejuruteraan Awam bernilai RM6.9 juta dan Projek Baik Pulih Sistem Kawalan Penghawa Dingin Berpusat di Loji Blok 27 bernilai RM338,550.
Projek NDT Termaju akan memperkukuh keupayaan pengujian dan latihan Non-Destructive Testing (NDT), pembangunan kompetensi tenaga kerja tempatan serta keupayaan Agensi Nuklear Malaysia memenuhi piawaian antarabangsa, manakala projek baik pulih sistem penghawa dingin berpusat yang telah siap sepenuhnya memastikan kelancaran dan kecekapan operasi Loji Blok 27.
Dalam lawatan tersebut, KSU MOSTI menekankan kepentingan pemantauan berterusan, penyelesaian segera isu pelaksanaan dan pengurusan peruntukan yang cekap bagi memastikan projek pembangunan disiapkan mengikut perancangan serta memberi impak yang nyata.
Lawatan ini mencerminkan komitmen MOSTI untuk memastikan setiap pelaburan dalam sains dan teknologi diterjemahkan kepada peningkatan keupayaan, kepakaran dan kesiapsiagaan teknologi negara.
Turut hadir YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia; YBrs. Puan Maznah binti Musa, Pengarah Bahagian Pemantauan Pembangunan, ICU JPM; YBrs. Encik Mohd Zulhasmi bin Jamaludin, Setiausaha Bahagian Pembangunan MOSTI serta pegawai-pegawai MOSTI, ICU JPM dan Agensi Nuklear Malaysia.
Skip to content