Skip to main content
Berita

Majlis Apresiasi Peserta Dan Pemain Industri Program Kerjaya Dan Keusahawanan Bioagrotek & Bio-Farmaseutikal 2.0 (BeST 2.0)

18 Julai 2023, Selangor – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang mengumumkan bahawa sejumlah 192 orang graduan telah berjaya mendapat penempatan kerja di 25 buah syarikat bioteknologi dan berasaskan bio melalui program Kerjaya dan Keusahawanan Bioagrotek & BioFarmaseutikal 2.0 (BeST 2.0) dari tahun 2021 sehingga 1 Mei 2023 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Program itu dilaksanakan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) melalui bahagian BioAcademy, yang berprinsipkan “PLACE-TRAIN-HIRE” bagi menempatkan, melatih dan mengambil graduan sebagai pekerja berpengetahuan dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio.
YB Chang Lih Kang yakin bahawa program-program di bawah BioAcademy termasuklah BeST 2.0 dapat menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, pengurangan pengangguran, penerapan teknologi moden dan pertumbuhan ekonomi yang rancak di Malaysia, di samping melahirkan lebih ramai pekerja berpengetahuan dan usahawan bio yang kompetitif dan bersedia menceburi pasaran global.
“Program BeST 2.0 menyasarkan penempatan kerja berpengetahuan tinggi dan pendapatan tinggi seramai 600 orang graduan dalam sektor bioteknologi sepanjang program RMKe-12. Kejayaan program BeST 2.0 merupakan satu langkah positif ke arah menangani cabaran jurang perbezaan antara kemahiran graduan tempatan dengan kemahiran tenaga kerja diperlukan yang sering dihadapi dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia.”
“Program ini juga dapat membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan dan kekosongan dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio, selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang disasarkan untuk membangunkan tenaga kerja dan bakat yang cekap dan adaptif untuk industri bioteknologi di Malaysia,” kata beliau semasa Majlis Apresiasi Peserta dan Pemain Industri BeST 2.0 di Dash Box Hotel, Cyberjaya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, En Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, kerjasama padu yang dijalinkan bersama 25 buah syarikat bioteknologi dan berasaskan bio merupakan kunci utama bagi kejayaan program BeST 2.0. “Bagi pengambilan pertama program BeST 2.0 iaitu pada tahun 2021, syarikat-syarikat hos ini telah menyerap 93% (59 daripada 63 orang) peserta program BeST 2.0 untuk menjadi pekerja tetap. Sokongan hebat yang diberikan oleh pemain-pemain industri termasuklah yang syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator telah memudahkan Bioeconomy Corporation untuk berjaya memadankan graduan bioteknologi dan berasaskan bio dengan kemahiran dan kelayakan akademik yang diperlukan oleh syarikat-syarikat dalam industri ini.”
Di bawah program BeST 2.0, siswazah dan graduan tempatan dan luar negara ditempatkan sebagai perantis di syarikat-syarikat hos dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio termasuklah biopertanian dan biofarmaseutikal. Mereka menjalani latihan insaniah, teknikal serta latihan kerja selama enam bulan sebelum ditawarkan pekerjaan tetap di syarikat penempatan atau di syarikat lain.
Bagi pengambilan kedua program BeST 2.0 sejak Mac 2023, 44 orang graduan sedang menjalani penempatan kerja di syarikat hos masing-masing hingga September 2023. Pengambilan ketiga sejak Julai 2023 telah menarik 45 orang graduan yang kini menjalani latihan-latihan insaniah dan teknikal di Rekascape, Cyberjaya selama sebulan sebelum ditempatkan di syarikat-syarikat hos. Lanjutan ini, pengambilan keempat seramai 40 orang graduan telah dimuktamadkan dan mereka akan mula menjalankan latihan dan penempatan kerja program BeST 2.0 pada bulan Ogos 2023.
Untuk maklumat lanjut tentang program BeST 2.0, sila layari: https://www.bioeconomycorporation.my/bioa…/best-programme/
Skip to content