Skip to main content
Berita

Majlis Apresiasi Peserta & Pemain Industri Program Kerjaya dan Keusahawanan Bio-Agrotek dan Bio-Farmaseutikal (BeST 2.0)

22 Ogos 2025, Putrajaya – YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menghadiri Majlis Apresiasi Peserta dan Pemain Industri Program BeST 2.0 di Putrajaya.

Beliau menyifatkan BeST 2.0 sebagai bukti keupayaan Malaysia dalam membina ekosistem bakat STI yang lengkap daripada memupuk minat pelajar di sekolah, melahirkan graduan berkemahiran tinggi, hingga menyediakan laluan kerjaya dalam industri bioteknologi dan bioekonomi.
Sejak dilancarkan pada 2021, BeST 2.0 yang dikendalikan oleh Bioeconomy Corporation telah berjaya melatih 561 graduan, dengan 91% daripadanya telah mendapat pekerjaan dalam industri bio. Lebih 200 syarikat telah bersama-sama menjayakan inisiatif ini, membuka lebih 1,900 peluang pekerjaan untuk anak muda negara.
Selain itu, BeST 2.0 turut melahirkan usahawan baharu melalui program BioeGAP, serta sedang diperluas ke bidang berimpak tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), AR/VR dan Tenaga Hijau. Portal Biokerjaya juga akan terus diperkukuh sebagai platform utama padanan kerjaya dalam sektor ini.
MOSTI akan terus memperkukuh usaha ini agar lebih ramai graduan berbakat dapat direalisasikan sebagai tenaga kerja mahir dan usahawan berdaya saing, seterusnya menjadikan Malaysia peneraju dalam bioekonomi dan ekonomi berteraskan sains, teknologi serta inovasi.
Turut hadir, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman bin Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), MOSTI, YBhg. Dato’ Dr Lee Boon Chye, Pengerusi, Malaysian Bioeconomy Development Corporation, YBrs. Encik Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif, Bioeconomy Corporation dan YBrs. Encik Fadzrin Azwar Abdul Aziz, Naib Presiden Bioeconomy Corporation.
Skip to content