Skip to main content
Berita

Majlis Flag Off Penghantaran Pertama Sayuran Ladang Tertutup Bio-Pintar Ke Singapura

1 November 2023, Selangor – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan penghantaran pertama sayur-sayuran yang dihasilkan melalui ladang tertutup (indoor farming) di bawah program Bio-PINTAR ke Singapura. Ini menandakan pencapaian terkini Malaysia dalam memajukan inisiatif Smart Indoor Farming dengan menerapkan aplikasi bioteknologi moden dalam sektor pertanian sebagai satu penyelesaian keterjaminan makanan negara.
Program Bio-PINTAR dibiayai di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai peneraju program tersebut sejak 2022. Melalui program Bio-PINTAR, Bioeconomy Corporation telah bekerjasama dengan rakan kongsi strategik dan penyedia teknologi, iaitu MSD Innovation Sdn Bhd (MSDi), untuk membangunkan model SIF yang meningkatkan ketepatan, pengeluaran dan kemampanan pertanian.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang, berkongsi bahawa eksport pertama sayur-sayuran premium di bawah Bio-PINTAR untuk pasaran Singapura merupakan hasil daripada pemadanan strategik antara MSDi dengan Sustenir Agriculture (Malaysia) Sdn Bhd yang dijalinkan oleh Bioeconomy Corporation.
MSDi dan Sustenir adalah antara 115 buah syarikat di bawah program Bio-Based Accelerator (BBA). Bioeconomy Corporation membimbing dan menyokong kedua-dua syarikat BBA ini dalam menggunakan model SIF Bio-PINTAR untuk menghasilkan dan mempromosikan sayur-sayuran segar, berkualiti tinggi, dan bebas racun perosak yang tinggi dan diperkaya dengan nutrien seperti Romaine, butterhead lettuce, kale, dan makanan berkhasiat atau superfood yang lain.
“Pembekalan produk sayuran akan bermula hari ini dengan penghantaran 4,000 pokok sayuran dan jumlahnya akan dipertingkatkan selaras dengan persefahaman perniagaan di antara pihak MSD Innovation dan rakan kolaborasi pemasaran di Singapura, di mana sasaran kedua-dua belah pihak adalah untuk memenuhi permintaan sebanyak 60 tan yang bernilai RM5 juta setahun,” kata YB Chang Lih Kang semasa berucap pada majlis “flag-off” yang diadakan di ibu pejabat MSDi di sini hari ini.
“Kejayaan ini dicapai melalui model SIF Bio-PINTAR yang inovatif, dengan menyepadukan bioteknologi, Internet of Things dan teknologi cloud dalam persekitaran terkawal. SIF menangani cabaran-cabaran utama dalam pertanian seperti ketidakpastian cuaca, tanah dan sumber biodiversiti yang terhad, serta penggunaan racun perosak. Pencapaian ini adalah bukti keupayaan Malaysia yang dapat merevolusikan pengeluaran pertanian dan komitmen tegas kami untuk memastikan keterjaminan makanan dalam peringkat tempatan dan antarabangsa.”
Bio-PINTAR merupakan sebahagian daripada projek R&D&C&I hasil kolaborasi bersama Bahagian Pemodenan Pertanian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta disenaraikan dalam direktori teknologi pertanian pintar, DirekTANI di laman web KPKM.
Objektif Bio-PINTAR adalah untuk mempamerkan kejayaan pelaksanaan teknologi Smart Indoor Farming serta mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai untuk menggalakkan penggunaan teknologi, terutamanya oleh pemain industri dan individu dalam bidang berkaitan pertanian. SIF mengeluarkan hasil pertanian berkualiti tinggi sepanjang tahun dengan memintas faktor luaran seperti turun naik cuaca dan kekurangan tanah. Bio-PINTAR adalah selaras dengan aspirasi Malaysia untuk mengubah sektor agromakanan menjadi lebih mampan, berdaya tahan, dan berteknologi tinggi, seperti yang digariskan dalam Dasar Bioteknologi Negara 2.0, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.
Program ini bertujuan untuk menarik minat generasi muda dan menggalakkan penglibatan mereka, terutamanya di kalangan mereka yang cenderung kepada teknologi, untuk menceburi bidang pertanian. Bio-PINTAR juga bertujuan untuk mewujudkan ekosistem yang menggalakkan pembangunan pertanian bandar secara pintar dengan mewujudkan program latihan, lawatan, pemasaran, logistik dan akses kepada platform dalam talian.
Skip to content