Skip to main content
Berita

Majlis Pelancaran Awal Startup ASEAN Malaysia-China Summit 2024

18 Disember 2024, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui agensinya Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), agensi fokal ekosistem startup Malaysia, mengumumkan Startup ASEAN, sebuah platform inovatif yang bertujuan untuk mengangkat Negara-Negara Anggota ASEAN sebagai pemain utama dalam landskap startup global.
Dalam persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, Cradle telah diberi mandat untuk mengetuai ASEAN Startup Initiative (ASI) di bawah ASEAN Technology Startup Ignite. Inisiatif ini menekankan komitmen Malaysia untuk memperkukuh ekosistem startup serantau selaras dengan Priority Economic Deliverables (PEDs) 2025 negara bagi bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Inisiatif ini memfokuskan kepada pemerkasaan dasar mesra startup, meningkatkan kesiapsiagaan ekosistem di seluruh Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS) serta memacu kolaborasi berimpak tinggi untuk mewujudkan kerjasama dan sinergi bermakna dalam rantau ini.
Inisiatif pertama di bawah ASEAN Technology Startup Ignite adalah sebuah platform yang dicipta khusus oleh pasukan petugas khas daripada kesemua sepuluh (10) Negara-Negara Anggota ASEAN: Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Penubuhan Startup ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia untuk ASEAN 2025 merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem startup serantau yang kini mempunyai lebih 11,000 startup dan nilai ekosistem sebanyak AS$131.2 bilion. Dengan KDNK ASEAN dijangka mencecah AS$4.5 trilion menjelang tahun 2030, rantau ini kekal sebagai hab inovasi yang dinamik, menawarkan peluang besar kepada startup dan pelabur.
Menjelang pelancaran rasminya pada Suku Kedua 2025, Startup ASEAN kini mengalu-alukan startup dan rakan ekosistem dari seluruh negara ASEAN untuk menyertai platform ini. Usahawan boleh mengemukakan minat mereka di www.startup-asean.org dan menjadi sebahagian daripada lonjakan inovasi masa hadapan di rantau ini.
Prapelancaran Startup ASEAN telah disempurnakan oleh YB Tuan Chang Lih Kang semasa Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024, disaksikan oleh pihak berkepentingan utama daripada ekosistem startup.
Skip to content