Skip to main content
Berita

Majlis Pelancaran Hasil Kejayaan R, D&C MOSTI oleh Agensi Nuklear Malaysia (ANM)

By 2013-08-28Disember 14th, 2020No Comments

n

 

Putrajaya (28 Ogos 2013) – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan Majlis Pelancaran Hasil Kejayaan R,D&C MOSTI pada hari ini. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Putrajaya.

Sempena majlis ini, Nuklear Malaysia telah melancar dan memperkenalkan 3 produk iaitu Bioliquifert, Pomispot Welder Dan Saygo Bio-Plastic. “Sesungguhnya pelancaran pada hari ini memulakan suatu penanda aras baru hasil kejayaan R,D&C MOSTI kepada Agensi MOSTI lain yang akan menyusul kemudian. Ini adalah kerana, pelancaran hasil-hasil kejayaan MOSTI akan dibuat secara berkala yang akan melibatkan semua agensi di bawah MOSTI termasuklah agensi yang mendanakan pengkomersilan teknologi”, kata Datuk Dr. Ewon Ebin semasa ucapannya.

Bioliquifert adalah sejenis bio baja dalam bentuk cecair yang digunakan dalam perladangan moden negara seperti dalam sistem tanpa tanah iaitu fertigasi dan hidroponik, di samping diluaskan penggunaannya dalam perladangan padi. Ia juga adalah produk pelbagai fungsi, sesuai untuk pelbagai sistem pertanian, ekonomi dan mesra alam. Di samping itu ia juga mampu melengkapkan keberkesanan baja kimia.

PomiSpot Welder merupakan pengimpal titik mudah alih dan berkos rendah. Ia sesuai digunakan untuk sebarang aktiviti yang memerlukan kerja pengimpalan yang cepat, tepat, bersih dan tiada bau. Kawasan kimpalan juga adalah kecil tanpa berlakunya pemanasan di kawasan lain. Pengimpalan boleh dibuat di tempat-tempat yang sempit dan sukar dicapai. Alat ini boleh digunakan tanpa keperluan latihan.

Produk yang ketiga adalah Saygo Bio-Plastic. Ia adalah merupakan dua produk mesra alam iaitu ‘SayGo Bio-films dan SayGo Bio-foam. Bioplastik ini dihasilkan melalui adunan dan percampuran polimer semulajadi iaitu kanji sagu dan/atau carrageenan sebagai bahan utama dengan pelarut air. Inovasi ini menggunakan teknik sinaran alur elektron untuk menghasilkan taut silang polimer bagi meningkatkan ciri fizikal dan mekanikal bio-plastik. Penggunaan teknik sinaran alur elektron membantu meningkatkan sifat dan ciri produk tanpa penggunaan bahan kimia (chemical crosslinking agent) dan teknik ini dikategorikan sebagai teknologi hijau.

Skip to content