Skip to main content
Berita

Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat MOSTI dan Perasmian Imej Baharu Lobi Blok C5

7 Ogos 2024, Putrajaya – Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat MOSTI dan Perasmian Imej Baharu Lobi Blok C5 telah disempurnakan oleh YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang turut dihadiri oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI, barisan pengurusan tertinggi dan warga MOSTI.
Dalam ucapan perasmiannya YB Tuan Chang Lih Kang menekankan bahawa “Semangat kemerdekaan bukan sahaja mengingatkan kita tentang perjuangan masa lalu, tetapi juga menginspirasikan kita untuk terus berusaha membina masa depan yang lebih baik. Dengan kebebasan yang kita kecapi, kita mempunyai peluang untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang, terutamanya yang berkaitan dengan sains, teknologi dan inovasi”.
YB Menteri turut menyeru agar semua Jabatan dan Agensi di bawah MOSTI mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sebagai simbol kebanggaan rakyat Malaysia. Jalur Gemilang juga melambangkan perpaduan dan komitmen kita untuk terus maju sebagai sebuah negara yang bersatu padu dan progresif.
Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, pelbagai program telah dirancang untuk dilaksanakan di MOSTI bagi mencipta suasana keceriaan, di samping meningkatkan kesedaran dan penghayatan kemerdekaan negara di kalangan warga kerja.
Sementara itu, Lobi utama MOSTI di C5 kini terdiri daripada dua ruang utama iaitu Atrium Peterana dan Atria Tech. Warga MOSTI, jabatan dan agensi di sarankan memanfaatkan kedua-dua ruang ini bagi menganjurkan program dan aktiviti berkaitan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Skip to content