Skip to main content
Berita

Majlis Pelancaran Program Penggunaan Barangan Dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) Dalam Perolehan Kerajaan

By 2023-06-27Julai 4th, 2023No Comments
27 Jun 2023, Kuala Lumpur – YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini melancarkan dua inisiatif strategik bagi mempertingkatkan taraf serta menjana permintaan untuk inovasi ‘ciptaan Malaysia’, terutamanya untuk sektor perolehan Kerajaan.
Dua inisiatif ini iaitu MySTI dan MCY akan mempercepatkan pembangunan dan pemasaran produk-produk R&D. Bagi tujuan pengkomersialan, di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, Kerajaan menyasarkan sebanyak 500 produk berjaya dikomersialan di pasaran tempatan dan luar negara.
Inisiatif Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023 tertumpu kepada barangan dan perkhidmatan tempatan yang sedia-ke-pasaran untuk merangsang inovasi tempatan dalam pelbagai bidang, bagi mewujudkan peluang pekerjaan, mencipta nilai sosio-ekonomi dan meningkatkan daya saing negara menurut prinsip Malaysia Madani.
“Keutamaan inovasi sangat penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia, dan kita ingin menjana penawaran dan permintaan untuk barangan ‘ciptaan Malaysia’ dalam bidang Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI). Barangan dan perkhidmatan dengan logo MySTI akan diberikan akses dan keutamaan dalam Perolehan Kerajaan, sebagai komitmen Kerajaan untuk mencapai sasaran Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030,” kata YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapannya.
MySTI mensasarkan 300 produk diberi pensijilan dan penandaan MySTI dalam jangka masa 2 tahun dan sekurang-kurangnya 50 barangan dan perkhidmatan memasuki perolehan Kerajaan. Inisiatif ini akan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan di kalangan penyelidik dan inovator tempatan untuk mencari penyelesaian teknologi dan inovasi yang mampan bagi menangani isu-isu kritikal negara.
Program MySTI yang disokong oleh Kementerian Kewangan, memberikan ruang dan peluang kepada anak tempatan untuk menonjolkan keupayaan mereka dalam penghasilan daya cipta dan hak harta intelek menerusi produk-produk R&D yang mampu bersaing dengan produk-produk lain di pasaran. Ini secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi negara dan seterusnya memberikan impak positif kepada kemajuan negara.
Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha MOSTI berkata, “Para inovator dan teknopreneur dapat memanfaatkan platform MySTI yang menyediakan laluan istimewa dalam perolehan Kerajaan. Syarikat-syarikat yang menyertai program ini akan turut diberikan sokongan untuk menembusi pasaran antarabangsa bagi menarik pelaburan dan kerjasama luar negara. Sekaligus, memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi serantau.”
Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan MySTI ialah sebuah program komprehensif untuk meningkatkan taraf barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan daripada sumber penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan hak harta intelek (IP) yang didaftarkan di Malaysia.
Direktori dalam talian ini akan menggalakkan interaksi antara bakal pembeli dan penjual yang berada di platform tersebut. Setiap produk yang tersenarai telah didaftarkan sebagai “ciptaan Malaysia” dan mempunyai sijil dengan nombor bersiri yang tersendiri, serta berhak untuk menggunakan logo MySTI untuk pemasaran. Kerajaan sedang meneliti mengenai pewujudan dana kerjasama antara kerajaan-swasta bagi menyokong perkembangan produk-produk ini di pasaran.
Dalam tempoh terhad, tiada yuran permohonan dikenakan untuk pendaftaran barangan dan produk yang sedia-ke-pasaran di platform MySTI. Produk-produk di peringkat awal R&D tidak layak untuk disenaraikan dan hanya produk-produk R&D yang telah sedia-ke-pasaran boleh disenaraikan, tertakluk kepada kelulusan Kementerian. Butiran lengkap boleh didapati di www.mysti.gov.my
Pada majlis ini, YB Menteri turut mengumumkan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit) 2023 yang akan diadakan pada 3 dan 4 Ogos 2023 di Connexion Bangsar South. Butiran lanjut mengenai MCY boleh didapati di https://mcyportal.mosti.gov.my/web/
Skip to content