Skip to main content
Berita

Majlis Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2023

15 Ogos 2023, Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengutamakan keperluan kepada perancangan rapi dan keberkesanan pelaksanaan hala tuju Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan pembiayaan negara, termasuk dana alternatif. Atas sebab itu, Malaysia Science Endowment (MSE) memainkan peranan penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan Kerajaan untuk R&D negara.
“MOSTI bersama Akademi Sains Malaysia (ASM), sedang giat membangunkan mekanisme penjanaan dana untuk menubuhkan MSE. Cadangan utama melibatkan penubuhan dana bernilai RM2 bilion. Model yang dicadangkan ialah perkongsian sumbangan oleh Kerajaan, perusahaan dan individu dengan nilai kekayaan tinggi. Dengan memulakan perjalanan transformatif ini, MOSTI percaya ia akan memberi impak yang ketara apabila perusahaan dan individu dengan nilai kekayaan tinggi berganding bahu untuk menyumbang kepada kemajuan R&D dan inovasi,” kata Menteri MOSTI, YB Tuan Chang Lih Kang pada Majlis Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2023.
Dalam majlis sama, Dr Fazren Azmi dinobatkan sebagai penerima Geran Penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2023. Beliau merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dr Fazren telah dianugerahkan geran bernilai RM50,000 untuk melanjutkan penyelidikannya bertajuk “Bioengineered-Microalgae Oil Droplet as a Production Platform of Advanced Immunogenic Protein Particles for Intranasal COVID-19 Nanovaccine Formulation.”
Akaun Amanah Tabung Penyelidikan Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh telah membiayai 27 projek penyelidikan dan 11 bengkel teknikal sejak penubuhannya pada 1997. Ia merupakan inisiatif mendiang Dr Ranjeet Bhagwan Singh, individu luar biasa yang berwawasan dan dermawan dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.
Terdahulu, Profesor Teo Yik Ying, Dekan Jabatan Kesihatan Awam Saw Swee Hock, National University of Singapore (NUS), menyampaikan Syarahan Peringatan bertajuk “Promise (and over promise) of Precision Public Health”. Syarahan itu meneroka potensi yang dibawa oleh teknologi kepersisan melalui lensa kesihatan awam yang menyentuh sains pelaksanaan, kecekapan dan keberkesanan kos. Ia menekankan kerjasama pelbagai sektor yang diperlukan untuk kaedah kepersisan diterima pakai.
Skip to content