15 November 2026, Serdang – YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha MOSTI telah merasmikan Majlis Perasmian Pembukaan Program Pembudayaan STI Bersepadu Peringkat Akhir Kebangsaan 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang bermula hari ini hingga esok.
Program yang menghimpunkan kemuncak Minggu Sains Negara (MSN) 2026 dan Peringkat Akhir Kebangsaan Malaysia Techlympics (MT) 2026 itu menyasarkan kehadiran seramai 45,500 pengunjung.
Menurut beliau, Malaysia perlu beralih daripada sekadar pengguna kepada pencipta teknologi bagi meningkatkan daya saing negara melalui pembangunan kapasiti Training of Trainers (TOT) dan peluasan akses bakat yang inklusif. Berteraskan prinsip ‘bakat tidak mengenal alamat’, MOSTI komited memastikan setiap anak Malaysia berpeluang meneroka bidang sains tanpa mengira lokasi atau latar belakang melalui kerjasama strategik dari peringkat sekolah hingga ke industri.
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai pengisian menarik seperti pameran inovasi, demonstrasi hands-on, KLESF, MBOT TUNE Summit, BioInnovation Launchpad, serta bengkel interaktif Rehlah Sains. Edisi kali ini turut menampilkan World Techlympics yang menghimpunkan delegasi dari sembilan negara dengan 54 kategori pertandingan fizikal merangkumi kecerdasan buatan (AI), dron, robotik, dan Metaverse, selain tiga pertandingan dalam talian buat julung kalinya.
Inisiatif ini yang turut meraikan sambutan World Science Day for Peace and Development dan International Week of Science and Peace ini diharapkan dapat melahirkan generasi saintis dan inovator yang mampu mencipta teknologi sendiri demi kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.




