11 November 2026, Putrajaya – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hadir merasmikan Majlis Perasmian Simposium Bioteknologi Kebangsaan (NBS 2026) anjuran Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) hari ini di Mesmera Grand Ballroom, The Everly Putrajaya.
Dalam ucapannya, Kerajaan menyasarkan syarikat berkaitan bioteknologi menyumbang sebanyak lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0).
Sasaran tersebut selaras dengan potensi ekonomi bioteknologi global yang kini dianggarkan mencecah USD2.4 trilion, sekali gus menuntut Malaysia memanfaatkan kekayaan biodiversiti dan kepakaran saintifik tempatan secara menyeluruh.
Menurutnya, DBN 2.0 memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu bioteknologi pertanian dan jaminan sekuriti makanan, bioteknologi penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, serta bioteknologi perindustrian dan ekonomi kitaran bagi menangani isu mendesak rakyat dan perubahan iklim.
Bagi merealisasikan hasrat itu, YB Datuk menggesa kerjasama rentas sektor diperkukuh antara pihak universiti, penyelidik, industri, dan pelabur untuk mengkomersialkan inovasi saintifik ke pasaran tempatan dan antarabangsa.




