Skip to main content
Berita

Malaysia Good Design Mark (MGDM) 2012

By 2013-07-08Disember 14th, 2020No Comments

y

 

Kuala Lumpur, 8 Julai 2013 – Sebanyak 21 syarikat telah berjaya menerima pengiktirafan ‘Malaysia Good Design Mark (MGDM)’ 2012 dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM). Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Sebanyak 74 produk daripada pelbagai kategori telah diterima untuk penilaian dan daripada jumlah tersebut 36 produk didapati menepati spesifikasi yang ditetapkan sekaligus layak menerima ‘Malaysia Good Design Mark’ bagi tahun 2012.  Penilaian dilakukan oleh panel juri profesional dari pelbagai latar belakang dan profesion.  Setiap produk dinilai berdasarkan kepada beberapa kriteria utama seperti nilai estetika dan penampilan popular, penggunaan yang praktikal dan berfungsi, elemen ergonomik di samping ciri-ciri keselamatan.

‘Malaysia Good Design Mark’ merupakan pengiktirafan rekabentuk oleh kerajaan Malaysia melalui Majlis Rekabentuk Malaysia. Ia dianugerahkan kepada rekabentuk yang berkualiti dan inovatif hasil rekaan dan keluaran tempatan.  Pengiktirafan ini adalah bagi memperakui usaha sektor perindustrian dalam melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan berterusan dalam mempertingkatkan produk baru. Ini diharapkan dapat menjadikan Malaysia sebagai penyumbang kepada kemajuan teknologi dan ekonomi global.  Rekabentuk terbaik memberi nilai tambah dan membezakan produk buatan kita selain akan mencorakkan trend pembelian pengguna ke atas produk yang kita keluarkan.

Selain penyampaian MGDM 2012, majlis pada malam ini juga akan menyaksikan pertukaran dokumen di antara Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi projek Inovasi Inklusif – Hentian Bas Berinovasi di negeri Melaka.  Projek ini dilaksanakan oleh MRM menerusi peruntukan khas yang diterima dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat menerusi inovasi rekabentuk.

Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) telah diberi mandat oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menerajui dan menyelaras aktiviti-aktiviti rekabentuk di Malaysia agar setanding di peringkat global.

Skip to content