Skip to main content
Berita

Malaysia Kaji Penggunaan Tenaga Nuklear, Perkukuh Ekosistem STI Hadapi Cabaran AI dan Iklim

8 September 2026, Pulau Pinang – YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hadir menyempurnakan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi ke-9 (ESTCON 2026) di Waterfront Convention Centre, Pulau Pinang, hari ini.

ESTCON 2026 menjadi platform penting dalam penilaian awal dan persediaan bagi meneroka potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga jangka panjang negara, khususnya bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), pusat data berskala besar dan sektor semikonduktor.
Penerokaan ini memerlukan keupayaan kejuruteraan yang kukuh, rangka kerja kawal selia yang ketat serta kesiapsiagaan industri tempatan bagi memastikan bekalan tenaga yang selamat, mampan dan berpatutan.
YB Menteri menegaskan bahawa kemajuan teknologi, perubahan iklim dan ketegangan geopolitik saling berkait serta menuntut Malaysia memperkukuh ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) menerusi Dasar STI Negara 2030 dan kerangka Ekonomi MADANI.
Malaysia juga perlu beralih daripada sekadar pengguna kepada pembangun dan pengkomersial teknologi tempatan, dengan memberi tumpuan kepada teknologi strategik termasuk AI, bahan termaju, teknologi angkasa dan nuklear, di samping memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) dan semikonduktor.
YB Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) atas penganjuran ESTCON 2026 serta peranannya memperkukuh kerjasama antara akademia, industri dan kerajaan.
Beliau turut menyeru negara-negara ASEAN mempertingkat kerjasama dalam keterhubungan tenaga dan infrastruktur digital bagi memperkukuh kedudukan rantau ini sebagai hab inovasi dan kepimpinan teknologi global.
Skip to content