Skip to main content
Berita

Malaysia Memperolehi Anugerah Emas di Ekspo 2020 Dubai

Dubai, 1 April 2022 – Pavilion Malaysia hari ini menerima Anugerah Emas bagi kategori Interpretasi Tema di Anugerah Pavilion Ekspo 2020 Dubai anjuran Bureau International des Expositions.

Kategori ini mengiktiraf intepretasi pavilion (bersaiz lebih kecil daripada 1,750m²) di Ekspo 2020 Dubai bertemakan ‘Connecting Minds, Creating the Future’ dengan sub tema ‘Kelestarian’, ‘Mobiliti’ dan ‘Peluang’.

Pavilion Malaysia megaplikasikan tema Memperkasa Kemampanan (Energising Sustainability), yang memberi tumpuan kepada usaha dan komitmen Malaysia dalam mengimbangi kemajuan ekonomi dengan keprihatinan alam sekitar.

“Kita amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Ia mencerminkan kejayaan Malaysia dalam memberitahu dunia komitmen negara terhadap kelestarian dengan mengekalkan biodiversiti negara. Diharapkan kita berjaya meninggalkan impak positif kepada pengunjung di Pavilion Malaysia dalam memberi inspirasi kepada perubahan dalam apa jua kapasiti,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Katanya lagi, “Ini juga merupakan kemenangan bersejarah untuk negara kerana berjaya memenangi anugerah emas pertama di Ekspo Dunia.”

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Pesuruhjaya Jeneral Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, YBhg. Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata, “Anugerah ini adalah bukti minda kreatif rakyat Malaysia mernerusi rekaan pavilion yang berteraskan kemampanan alam sekitar – bermula dengan pembinaan dan sumber bahan mentah sehinggalah kepada sumber tenaganya. Usaha ini membuahkan hasil apabila berjaya menerima pengiktirafan sebagai pembinaan Karbon Sifar Bersih pertama di Ekspo 2020 Dubai.”

Malaysia juga telah dianugerahkan penghormatan untuk Reka Bentuk Lestari Terbaik dalam Anugerah Ekspo Dunia Majalah EXHIBITOR yang menyaksikan Pavilion Austria mendapat tempat pertama. Anugerah Ekspo Dunia ini mengiktiraf bagaimana pavilion memanfaatkan reka bentuk, teknologi, persembahan dan penceritaan untuk mencipta pengalaman yang menarik dalam menyampaikan mesej dengan berkesan.

“Sebagai Kementerian yang menerajui penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai, kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaan Pavilion Malaysia,” kata Dr. Adham Baba.

Ekspo 2020 Dubai berakhir pada 31 Mac 2022 selepas enam bulan berlangsung sejak 1 Oktober 2021. Acara bersejarah ini diiktiraf sebagai acara ketiga paling ramai dihadiri di dunia, selepas Piala Dunia FIFA dan Sukan Olimpik. Ekspo Dunia seterusnya akan dianjurkan di Osaka, Jepun pada tahun 2025.

Skip to content