Skip to main content
Berita

Malaysia Nanotechnolgy Industrial Group (MNIG) Dilancarkan Secara Rasmi Sempena Program Nano Kebangsaan (NANOKEB) 2022

9 September, Putrajaya – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba hari ini telah melancarkan Malaysia Nanotechnology Industrial Group (MNIG) sempena majlis penutupan rasmi Program Nanoteknologi Kebangsaan (NanoKEB) 2022.

Pelancaran MNIG secara rasmi ini bertujuan menghimpunkan pemain industri nano di Malaysia, sekali gus mengurangkan jurang ekosistem nanoteknologi negara. MNIG disasarkan untuk menjadi pelantar terbaik ke arah penglibatan lebih banyak industri terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pemain ekosistem inovasi tempatan dalam bidang nanoteknologi, seterusnya mampu menembusi pasaran antarabangsa dengan produk inovatif yang bernilai tinggi.

Dalam ucapannya pada program NanoKEB 2022, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba menyatakan keyakinannya terhadap penubuhan MNIG dalam membantu industri nanoteknologi di peringkat serantau dengan mengambil peluang perkembangan pasaran nanoteknologi Asia Pasifik yang diunjurkan mencapai lebih USD2.6 trilion pada tahun 2025.

Sumbangan PKS dalam industri nanoteknologi berpotensi tinggi kepada ekonomi negara, melibatkan lebih 900 produk nano di pasaran Malaysia bernilai RM381.8 juta pada tahun 2020. Manakala nilai jualan tahunan produk nano tempatan yang telah 2 mendapat pensijilan NanoVerify telah meningkat kepada RM441.9 juta dan diunjurkan terus meningkat kepada RM490.1 juta pada tahun ini.

“Banyak faedah sosio-ekonomi akan dinikmati oleh Keluarga Malaysia dalam tempoh lima (5) tahun akan datang seperti yang telah disasarkan dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025. Ini termasuklah penciptaan lebih 30,000 peluang pekerjaan baharu terutama yang berkemahiran tinggi, penghasilan lebih 50 usahawan nano dan potensi sumbangan lebih RM150 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2025,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba.

MNIG akan mewakili industri nanoteknologi di Malaysia dan dianggotai oleh wakil industri berkaitan nanoteknologi. Ia berperanan sebagai medium untuk menjalin kerjasama erat antara syarikat nanoteknologi, PKS dan pemegang taruh yang lain serta membantu penyelarasan antara syarikat dalam rantaian bekalan produk teknologi nano.

Program NanoKEB adalah program tahunan anjuran Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) yang telah dijayakan bersama para pemegang taruh ekosistem inovasi nano tempatan sejak tahun 2015. Ia adalah program peringkat kebangsaan untuk para penggiat nanoteknologi berkongsi pengetahuan terkini dan amalan terbaik (best practices) dalam bidang nanoteknologi melalui siri ceramah, sesi libat urus, forum pelbagai hala dan siri bengkel teknikal yang telah diatur secara kolaboratif dengan mod interaktif membabitkan semua peserta. NanoKEB pada tahun ini telah disertai oleh 500 orang peserta dari seluruh negara secara fizikal dan maya.

Pada majlis yang sama, dua (2) Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara NanoMalaysia Berhad (NMB) dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan NMB dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menerusi MoU antara NMB dengan UTAR, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelaksanaan projek Remote Energy System (NREgS) yang merangkumi penskalaan teknologi penuaian tenaga (energy harvesting) dengan penerapan bahan termaju bagi memantapkan prestasi peranti pengecas tanpa wayar berteraskan aplikasi yang memerlukan mobiliti seperti pengguna telefon mudah alih, sektor pengangkutan serta bandar pintar. Projek ini juga bertujuan membina jaringan ekosistem yang kukuh dalam menyokong fasa pengkomersialan dan perindustrian.

Bagi MoU antara NMB dengan UMP pula, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam Biomass Circular Economy Program (BICEP). Projek ini akan menggunakan sisa biojisim daripada aktiviti pertanian di Malaysia untuk menghasilkan bahan dan produk termaju berkualiti tinggi yang mempunyai pelbagai faedah seperti bahan termaju seperti grafen, nanoselulosa, nanosilica yang boleh digunakan peranti Internet kebendaan (IoT), komponen kenderaan elektrik (EV) serta bahan api untuk tenaga boleh diperbaharui seperti hydrogen.

Hadir sama YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI

.
#mosti #stie #STIpemacuekonomi #MerakyatkanSains #MenginsankanTeknologi #NanoKEB

 

 

              

 

Skip to content