Skip to main content
Berita

Malaysia Perkasa Keselamatan dan Sekuriti Nuklear Serantau dan Antarabangsa

07 Julai 2025, Johor – Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear, Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura 2025 (MITSATOM 2025) telah dirasmikan oleh YB Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor pada hari ini bertempat di Johor Bahru. Hadir sama YBrs. Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI dan YBrs. Puan Hajah Noraishah Pungut, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom.

MITSATOM 2025 diadakan bermula 7 Julai sehingga 11 Julai 2025, di antara empat negara ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand and Singapura, bertujuan untuk menguji keberkesanan komunikasi dalam bertindak balas kepada pengesanan terhadap kejadian sekuriti nuklear melibatkan penyeludupan bahan radioaktif merentas sempadan darat Malaysia-Thailand dan Malaysia-Singapura, serta sempadan laut Malaysia-Indonesia.
MITSATOM 2025 telah diadakan di bawah inisiatif Jabatan Tenaga Atom sebagai Pengerusi Rangkaian Badan Kawal Selia ASEAN mengenai Tenaga Atom (ASEANTOM), bersempena dengan Kepengerusian Malaysia di ASEAN bagi tahun 2025. MITSATOM 2025 telah diadakan dengan sokongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai keterangkuman, keselamatan bersama, dan tanggungjawab sejagat, pelaksanaan MITSATOM 2025 mendapat kerjasama padu daripada pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang dan Pegawai Barisan Hadapan (FLO), seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Lembaga Pelabuhan Johor.
Beberapa negara dan organisasi antarabangsa lain hadir sebagai pemerhati, termasuk Amerika Syarikat (AS), Kerajaan Arab Saudi, Brunei Darussalam, dan Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (INTERPOL).
MITSATOM 2025 menyerlahkan komitmen berterusan Malaysia untuk mengukuhkan keselamatan dan sekuriti nuklear di peringkat serantau, di samping meningkatkan kerjasama strategik di kalangan negara anggota ASEAN dalam menangani potensi ancaman sekuriti nuklear rentas sempadan. Melalui platform ini, Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain boleh mengukuhkan rangkaian komunikasi, penyelarasan, dan tindak balas bersama terhadap insiden yang melibatkan bahan radioatif atau bahan nuklear, selaras dengan aspirasi serantau dan global untuk keselamatan dan sekuriti nuklear.
Skip to content