Skip to main content
Berita

Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Utara

17 Ogos 2023, Pulau Pinang – Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Utara di University of Wollongong, Batu Kawan, Pulau Pinang pada 16 dan 17 Ogos 2023 dirasmikan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini.
Malaysia Techlympics merupakan inisiatif MOSTI dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi.
Malaysia Techlympics 2023 akan dilaksanakan di 6 zon, Peringkat Zon Utara merupakan pelaksanaan zon pertama yang melibatkan kerjasama University of Wollongong, Batu Kawan, Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Negeri Kedah, Negeri Perlis, dan Negeri Perak.
Seramai 2,000 orang peserta telah berkumpul bersama-sama dan bersaing di Peringkat Zon Utara ini bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang akan diadakan pada bulan November 2023 di Putrajaya. Pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan (IoT), dron, pengkodan dan robotik yang dipertandingkan di peringkat negeri dan zon. Sehingga hari ini, Malaysia Techlympics telah berjaya meraih 1.3 juta penyertaan daripada seluruh negara.
Antara enam (6) tema yang menjadi tonggak utama bagi pertandingan Malaysia Techlympics pada tahun ini adalah Teknologi Sohor, Inovasi Kreatif untuk Kesejahteraan Rakyat, Sains dan Inovasi, Aeroangkasa, Kecerdasan Buatan dan Sains Data serta Keterangkuman Malaysia Madani.
Menurut YBhg. Datuk Ts. Dr. Aminuddin, “Malaysia Techlympics turut menekankan aspek keterangkuman dan inklusif. Menerusi program jangkau luar yang telah dirancang sepanjang tempoh pelaksanaannya, rakan adik-adik yang berada di luar bandar, guru-guru dan komuniti setempat mendapat akses kepada keperluan asas dan pendidikan berkualiti khususnya dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM”.
Antara pengisian utama Malaysia Techlympics di bawah tema Keterangkuman Malaysia Madani juga adalah latihan kepada guru-guru. Di Peringkat Zon Utara sendiri, sejumlah 500 orang guru telah terlibat secara langsung dalam sesi latihan yang telah dilaksanakan bagi turut bersama-sama berkongsi kepakaran dan ilmu pengetahuan kepada para peserta Malaysia Techlympics yang bertanding.
Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Techlympics, layari www.techlympics.my
Skip to content