Skip to main content
Berita

Membawa Pentaksiran Digital Ke Barisan Hadapan

By 2017-04-11Mei 27th, 2017No Comments

BUKIT JALIL, 11 Apr 2017 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menekankan kepentingan teknologi pentaksiran digital ketika negara melangkah ke era Revolusi Industri Ke-4
Menterinya Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pada waktu negara sedang giat membangunkan ekonomi digital, lebih banyak operasi yang selama ini dilakukan secara manual harus didigitalkan, menamakan pengurusan sumber manusia sebagai satu contoh.

“Dalam dunia yang tidak menentu dan persekitaran yang sukar difahami hari ini, peranan psikometrik menjadi semakin penting. Organisasi mesti menyedari hakikat keperluan bagi pentaksiran saintifik, dan betapa keperluan tersebut wujud setiap hari di sekeliling kita. Kerumitan abad ke-21 memerlukan penyelesaian abad ke-21,” katanya.

“Dengan integriti dan ketelusan semakin diperhalusi dalam pentadbiran negara, pendigitalan proses pemilihan menjadi bertambah penting,” kata Wilfred pada majlis pelancaran Teknologi Pentaksiran Digital untuk Revolusi Industri Ke-4, di sini.

Turut hadir pada majlis itu, yang diadakan sempena Simposium Psikometrik Malaysia 2017, ialah Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Seri Dr Mohd Azhar Haji Yahaya, Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Datuk Abdul Wahab Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia Datuk Fadilah Baharin serta barisan pengurusan tertinggi universiti tempatan dan pemimpin industri.

Wilfred berkata pentaksiran digital bukan lagi satu pilihan malah satu keperluan dalam mewujudkan tenaga kerja yang dapat menyumbang secara berkesan dalam Revolusi Industri Ke-4. Beliau berkata, dengan penerimagunaan standard antarabangsa MS ISO, ekosistem untuk pentaksiran digital di negara ini kini lengkap dan industri tempatan semakin hampir untuk menjadi peserta global.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata kemahiran abad ke-21 seperti penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kreatif, kerja berpasukan dan penyesuaian budaya akan menjadi penting untuk kemajuan negara, tetapi set kemahiran ini tidak dapat diukur dengan baik oleh kelayakan akademik tradisional.

“Tidak dinafikan teknik psikometrik yang diamalkan pada abad lalu dapat mengukur kemahiran, tetapi ini tidak dapat dilakukan dengan jitu. Pentaksiran kemahiran abad ke-21 secara tepat adalah menggunakan teknik pentaksiran digital termaju, seperti yang sedang dibangunkan di MIMOS hari ini,” katanya.

Pada majlis itu, dua standard antarabangsa telah diterima guna sebagai Standard Malaysia (MS ISO). Majlis itu juga menyaksikan perasmian Persatuan Psikometrik Malaysia dan pertukaran dokumen MoU antara MIMOS dan rakan usahasamanya. Tiga belas rakan strategik teknologi MIMOS juga diiktiraf pada majlis itu.
Fadilah berkata kedua-dua standard baharu tersebut menyediakan kriteria amalan baik dan panduan bagi pemaju dan pentadbir ujian profesional, yang berpotensi untuk meningkatkan keyakinan terhadap keadilan ujian pentaksiran, dan membuat orang ramai kurang terdedah kepada andaian kurang tepat yang dibuat berdasarkan ujian tidak saintifik.

Kedua-dua standard baharu ini akan menyediakan garis panduan penting bagi agensi-agensi kerajaan dan swasta yang ingin menggunakan kaedah pentaksiran digital untuk pelbagai tujuan seperti pengambilan, kenaikan pangkat dan penempatan kakitangan pada masa depan, katanya.

Skip to content